Friday, 2 November 2012

BAI'AH


KETAHUILAH bahawa makna Bai‘ah ialah berjanji dan taat setia kemudianberpegang teguh dan tetap melaksanakannya. Berbai‘ah merupakan amalan Para Sufi yang mulia Rahmatullah ‘alaihim dan ianya terus berjalan sehingga ke hari ini dan akan terus berjalan. Berbai‘ah juga merupakan Sunnah dan Tariqah Para Sahabat Ridhwanullah ‘Alaihim Ajma’in. Bai‘ah adalah menetapkan secara sedar hubungan di antara Murshid dan Murid. Murid membenarkan Murshidnya memberikan bimbingan kepadanya dan Murshid menerima Murid sebagai Muridnya dan pengikutnya dalam mencapai peningkatan Ruhani menuju kepada maksud yang hakiki.

Perkataan Bai’ah berasal dari kata dasar Ba’a Bai’an Mabi’an yang bererti menjual dan perkataan ini biasa digunakan dalam istilah akad jual beli. Biasanya setelah menjual sesuatu, si penjual akan mengucapkan Bi’tu yang bererti “Saya menjual” dan pembeli pula mengucapkan Isytaraitu yang bererti “Saya membeli” dan ini mengisyaratkan kepada keredhaan kedua belah pihak. Dari kata dasar tersebut terbit pula kata Baya’a yang bererti membuat perjanjian atau biasa disebutkan sebagai Bay’at atau Bai’ah. Dalil Bai‘ah di dalam Al-Quran ada di dalam Surah Al-Fath ayat 10 yang mana Allah Ta’ala berfirman yang maksudnya,

إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
 “Sesungguhnya orang-orang yang berbai‘ah berjanji setia kepada kamu (Muhammad), sesungguhnya mereka berbai‘ah berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka. Maka barangsiapa yang melanggar janjinya maka akibat buruk akan menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa yang menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya pahala yang besar.”

 Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada Nabi Muhammad, sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barangsiapa yang melanggar janjinya nescaya akibat dari melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberinya pahala yang besar.

Pada bulan Zulqaidah tahun keenam Hijriyyah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam beserta pengikut-pengikutnya hendak mengunjungi Makkah untuk melakukan Umrah dan melihat keluarga-keluarga mereka yang telah lama ditinggalkan. Sesampai sahaja di Hudaibiyah, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berhenti dan mengutus Hadhrat ‘Utsman bin ‘Affan Radhiyallahu ‘Anhu terlebih dahulu ke Makkah untuk menyampaikan maksud kedatangannya dan kaum Muslimin. Mereka menanti-nanti kembalinya Hadhrat ‘Utsman bin ‘Affan Radhiyallahu ‘Anhu, tetapi tidak juga datang kerana Hadhrat ‘Utsman bin ‘Affan Radhiyallahu ‘Anhu telah ditahan oleh kaum Musyrikin, kemudian tersiar lagi khabar bahawa Hadhrat ‘Utsman bin ‘Affan Radhiyallahu ‘Anhu telah dibunuh, maka Nabi menganjurkan agar kaum Muslimin melakukan Bai'ah janji setia kepadanya. Mereka pun mengadakan janji setia kepada Nabi dan mereka akan memerangi kaum Quraisy bersama Nabi sampai kemenangan tercapai. Perjanjian setia ini telah diredhai Allah sebagaimana tersebut dalam ayat 18 Surah Al-Fath, kerana itulah ianya disebut sebagai Bai'atur Ridhwan. Bai'atur Ridhwan ini menggetarkan kaum Musyrikin sehingga mereka telah melepaskan Hadhrat ‘Utsman dan mengirimkan utusan untuk mengadakan perjanjian damai dengan kaum Muslimin. Perjanjian ini terkenal dengan Sulhul Hudaibiyah. Orang yang berjanji setia biasanya berjabat tangan. Cara berjanji setia dengan Rasul ialah meletakkan tangan Rasul di atas tangan orang yang berjanji itu. Jadi maksud tangan Allah di atas mereka ialah untuk menyatakan bahawa berjanji dengan Rasulullah sama dengan berjanji dengan Allah. Jadi seakan-akan Tangan Allah di atas tangan orang-orang yang berjanji itu. Hendaklah difahamkan bahawa Allah Maha suci dari segala sifat-sifat yang menyerupai makhluknya. Di dalam Surah Al-Fath ayat 18 Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman yang maksudnya, 

 لَّقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

 “Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang beriman ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan ke atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat.”

 Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang Mukmin ketika mereka berjanji setia kepada Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam di bawah sebuah pohon dan Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan ke atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat waktunya. Yang dimaksudkan dengan kemenangan yang dekat ialah kemenangan kaum Muslimin pada perang Khaibar. Para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum berbai‘ah dengan Hadhrat Baginda Nabi Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam banyak keadaan. 

Ada yang berbai‘ah untuk ikut berhijrah dan berjuang bersama-sama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, ada yang berbai‘ah untuk sama-sama menegakkan Rukun Islam, ada yang berbai‘ah untuk tetap teguh berjuang tanpa undur ke belakang dalam medan pertempuran jihad menentang orang kafir, ada yang berbai‘ah untuk tetap berpegang dan memelihara Sunnah, menjauhi bida‘ah dan berbai‘ah untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kaum wanita di kalangan Para Sahabat Radhiyallahu ‘anhum juga melakukan Bai‘ah dengan Hadhrat Baginda Nabi  Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Terdapat bermacam-macam peristiwa Bai‘ah di zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan Para Sahabat Ridhwanullah ‘Alaihim Ajma’in. Menurut Hadhrat Shah Waliyullah Dehlawi Rahmatullah ‘alaih di dalam kitabnya Al-Qaulul Jamil terdapat beberapa bahagian Bai‘ah iaitu:

 
1. Bai‘ah untuk taat setia kepada Khalifah.

2. Bai‘ah untuk menerima Agama Islam.

3. Bai‘ah untuk tetap teguh berpegang dengan Taqwa.

4. Bai‘ah untuk ikut berhijrah dan berjihad.

5. Bai‘ah untuk tetap setia menyertai Jihad.

 
Menurut Hadhrat Shah Abdullah Ghulam ‘Ali Rahmatullah ‘alaih, terdapat 3 jenis Bai‘ah. Jenis yang pertama ialah apabila seseorang itu bertaubat pada tangan seorang yang suci dan berbai‘ah untuk meninggalkan perbuatan dosa, maka dosa-dosa besarnya juga akan turut terampun. Jika dia kembali melakukan dosa, maka dia perlu mengulangi Bai‘ah kali yang kedua yakni Bai‘ah ini boleh berlaku berulang-ulang kali. Jenis Bai‘ah yang kedua ialah apabila seseorang itu berbai‘ah untuk mendapatkan Nisbat Khandaniyah yakni nisbat dengan sesuatu golongan atau kelompok bagi mendapatkan perkhabaran baik yang menjadi kekhususan bagi golongan tersebut. Di samping itu dia mengharapkan Syafa’at yang tidak terbatas menerusi golongan tersebut. Misalannya, seseorang itu berbai‘ah dengan Silsilah Qadiriyah supaya mendapatkan perkhabaran baik Hadhrat Ghauts Tsaqilain Syeikh Abdul Qadir Jailani Rahmatullah ‘alaih yang mana beliau telah berkata bahawa, “Para murid dalam Silsilahku tidak akan meninggal dunia dalam keadaan tidak bertaubat.” Bai‘ah seperti ini tidak perlu dilakukan berulang-ulang. Jenis Bai‘ah yang ketiga ialah apabila seseorang itu berniat untuk mengambil faedah dan istifadah dari sesuatu Khandan atau golongan. 

Jika seseorang itu telah berikhtiar dan berusaha untuk melaksanakan Zikir dan Wazifah Khandan tersebut secara ikhlas namun tidak berupaya melaksanakannya maka untuk dirinya, dengan kebenaran yang menjadi kebiasaan ialah hendaklah merujuk kepada mana-mana orang suci dari kelompok atau golongan yang lain dan berbai‘ah dengan Murshid yang lain sama ada Murshid yang sebelum itu redha mahupun tidak. Akan tetapi tidak boleh sekali-kali menafikan kesucian dan kesalihan Murshid yang terdahulu sebaliknya hendaklah beranggapan bahawa mungkin tuahnya tiada di sana. Jika seseorang Murid mendapati Murshid mengabaikan pengamalan Syari’atdan usul-usul Tariqat dan dirinya terikat dengan ahli-ahli duniawi dan mencintai dunia, maka hendaklah dirinya mencari Murshid yang lain bagi menghasilkan limpahan Faidhz batin dan kecintaan serta Ma’rifat. Adapun, amalan mengulangi Bai‘ah memang ada berlaku di zaman Hadhrat Baginda Rasulullah Salllallhu ‘Alaihi Wasallam, begitu juga di zaman Para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum ajma’in, Para Tabi’in dan Tabi’it Tabi’in.

 Menurut Hadhrat Shah Waliyullah Dehlawi Rahmatullah ‘alaih bahawa mengulangi Bai‘ah dengan Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam itu ada asasnya. Begitu juga melakukan Bai‘ah berulang-ulang dengan ahli-ahli Tasawwuf sama ada dengan dua orang Syeikh yang berlainan atau dua kali dengan  Syeikh yang sama. Ini dilakukan kerana wujudnya kecacatan pada orang yang menerima Bai‘ah itu yakni Syeikh tersebut, sama ada selepas kematiannya ataupun berpisah jauh serta putus hubungan secara zahir. Adapun Bai‘ah yang dilakukan berulang-ulang kali tanpa sebarang sebab atau uzur maka boleh dianggap sebagai main-main dan ini boleh menghilangkan keberkatan dan menyebabkan hati Syeikh atau Guru Murshid itu berpaling dari menumpukan perhatian keruhanian terhadapnya. Wallahu A’lam.   

Hadhrat Aqdas Maulana Muhammad ‘Abdullah Rahmatullah ‘alaih suatu ketika telah ditanyakan orang tentang apakah maksud Bai‘ah? Beliau lalu berkata, “Cubalah kamu lihat bahawa dengan adanya pengetahuan hokum-hukum Syariah dan urusan keagamaan pun orang tidak dapat berakhlak dan melakukan  amalan Salih dengan baik, terdapat juga kebanyakan orang-orang Islam yang mengerjakan solat dan puasa tetapi masih tidak dapat menghindarkan diri dari kelakuan buruk seperti menipu dan berbohong serta mengumpat ghibat. Maksud utama Bai‘ah ialah supaya menghindarkan kelakuan yang buruk dan menggantikannya dengan melahirkan akhlak yang tinggi dan mulia, mendatangkan kemudahan untuk melakukan amalan Salih dan dengan sendirinya akan meninggalkan perbuatan maksiat.” Hukum Bai‘ah adalah Sunat dan bukannya Wajib kerana manusia melakukan Bai‘ah dengan Hadhrat Baginda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam atas tujuan Wasilah untuk tujuan Qurbah menghampirkan diri mereka kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa meninggalkan atau tidak melakukan Bai‘ah adalah berdosa dan tidak ada Imam Mujtahidin yang menyatakan berdosa jika meninggalkan Bai‘ah. Adapun hikmah melakukan Bai‘ah adalah amat besar sekali kerana Allah melaksanakan peraturanNya dengan meletakkan dan menentukan beberapa perbuatan, amalan dan kata-kata yang bersifat zahir sebagai lambang bagi membuktikan ketaatan dan bagi menyatakan perkara-perkara yang bersifat Ruhaniah, halus dan tersembunyi di jiwa insan. Sebagai contoh, membenarkan dan mempercayai dengan yakin akan kewujudan Allah Yang Maha Esa dan Hari Akhirat adalah merupakan perkara ghaib, halus dan bersifat Ruhaniah, Maka Islam meletakkan pengakuan lidah atau ikrar sebagai lambang membenarkan kewujudan Allah dan Hari Akhirat yang bersifat Mujarrad dan halus. Begitulah juga di dalam urusan Mu’amalat perniagaan dan jual beli yang mana ianya berasaskan keredhaan penjual dan pembeli untuk melakukan urusan perniagaan dan keredhaan itu adalah bersifat halus dan tersembunyi maka amalan akad Ijab dan Qabul menjadi sebagai lambang bagi menzahirkan keredhaan antara penjual dan pembeli.

Demikian juga dalam melaksanakan Taubat, keazaman untuk berhenti dari melakukan dosa adalah bersifat halus dan Mujarrad lagi tersembunyi, oleh itu telah ditentukan oleh Allah menerusi amalan Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan Para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum bahawa amalan Bai‘ah itu secara zahirnya adalah bagi melambangkan keazaman untuk bertaubat dan meninggalkan dosa-dosa. Upacara Bai‘ah ini seharusnya dilakukan secara rahsia pada tempat yang rahsia kerana ianya merupakan suatu rahsia perjalanan yang rahsia bagi setiap Salik. Pada hakikatnya Bai’ah adalah merupakan suatu akad jual beli antara kita dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana Dia telah berfirman di dalam Surah At- Taubah ayat 111,

 
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang beriman, diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. Itu telah menjadi janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.”

 
 Kemudian Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerangkan ciri-ciri serta sifat-sifat mereka yang telah melakukan jual beli dengan Allah pada Surah At-Taubah ayat 112 yang bermaksud,

التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ الْآمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنِ الْمُنكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

 “Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah,yang melawat, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’aruf dan mencegah berbuat mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman itu.”

 Di dalam ayat tersebut, Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerangkan dengan lebih jelas akan ciri serta sifat orang-orang beriman yang menyempurnakan akad jual beli antara dirinya dan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Yakni mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah berbuat Munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah dan gembirakanlah orang-orang Mukmin itu. Maksudnya melawat untuk mencari ilmu pengetahuan atau berjihad. Ada pula Mufassirin yang menafsirkannya dengan orang yang berpuasa yang  sentiasa bertaubat dan melaksanakan amalan ibadah dengan baik dan sempurna, yang sering berziarah untuk tujuan Silaturrahim ataupun untuk bertemu dengan seseorang yang ‘Alim untuk tujuan mendapatkan ilmu ataupun menziarahi Para Auliya Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan sebaik-baik ziarah adalah menziarahi Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di Madinatul Munawwarah, yang mendirikan Solah dengan ruku’ dan sujud yang baik dan sempurna, yang menjalankan kewajipan Dakwah dan Tabligh dengan menyuruh manusia berbuat amalan kebaikan yang Ma’aruf dan berusaha mencegah manusia dari melakukan perbuatan yang zalim dan mungkar serta senantiasa memelihara hukum-hukum Allah Subhanahu Wa Ta’ala sepertimana yang termaktub di dalam Al-Quran dan berpandukan Al-Hadits dan As-Sunnah. Dengan berusaha memelihara hukum-hukum Allah, mereka telah menafkahkan harta mereka dan menyerahkan diri mereka bagi menegakkan Kalimah Allah. Mereka berperang dengan Syaitan, Hawa, Nafsu dan Duniawi semata-mata kerana Allah sehingga mereka menghembuskan nafas yang terakhir. Maka mereka itu adalah golongan orang-orang beriman yang berada dalam tingkatan yang khusus dengan mendapat perkhabaran gembira dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Maka sebagai melengkapi syarat jual beli antara orang-orang beriman dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, bahawa Dia telah membeli diri mereka dan harta mereka dan Syurga adalah sebagai tukaran.

Bai’ah merupakan akad bagi jual beli ini dan setelah kita berakad dengan akad Bai’ah ini, menjadi tanggungjawab kitalah untuk menyerahkan diri kita mentaati perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan RasulNya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan membelanjakan harta kita menurut kehendak Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan mengikuti petunjuk RasulNya, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Thursday, 1 November 2012

KATEGORI WALIYULLAH


Bagi Para Abdal terdapat istilah-istilah yang khas. Hadhrat Syeikh ‘Ali Bin ‘Utsman Al-Hujwiri Rahmatullah ‘alaih menyatakan di dalam kitabnya Kashful Mahjub bahawa, menurut Hadhrat Syeikh Abu ‘Abdullah Muhammad Bin ‘Ali Al-Hakim Al-Tirmizi Rahmatullah ‘alaih, ada terdapat seramai empat ribu Wali yang sentiasa hidup di dunia ini dan tidak dapat diketahui oleh orang ramai kerana mereka dilindungi dan disembunyikan oleh Allah Ta’ala, dan mereka tidak mengenal antara satu dengan yang lain. Beliau menyatakan lagi bahawa terdapat tiga ratus orang yang bergelar Akhyar, empat puluh orang yang bergelar Abdal, tujuh orang yang bergelar Abrar, empat orang yang bergelar Awtad, tiga orang yang bergelar Nuqaba dan seorang yang bergelar Qutub dan Ghauts. Mereka yang termasuk dalam golongan tersebut itu adalah mengenali diri mereka antara satu sama lain.

 Adapun pembahagian jenis-jenis Wali dinyatakan seperti berikut seperti yang telah dinyatakan di dalam kitab-kitab.

1. Wali Abdal

2. Wali Abrar

3. Wali Akhyar

4. Wali Aqtab

5. Wali Autad

6. Wali ‘Imad

7. Wali Ghauts

8. Wali Mufradan

9. Wali Maktuman

10. Wali Nujaba

11. Wali Nuqaba

12. Wali Qutub

ABDAL

Terdapat empat puluh orang Wali Abdal kesemuanya. Dua puluh dua orang dari mereka berada di Negara Syam yakni Damsyik, Syria dan lapan belas dari mereka berada di Negara Iraq. Menurut sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hambal Rahmatullah ‘alaih bahawa sekali Hadhrat Sayyidina ‘Ali Karramallahu Wajhahu telah ditanyakan orang tentang Ahli Syam yakni Para Abdal. Hadhrat Sayyidina ‘Ali Karramallahu Wajhahu telah berkata bahawa dia telah mendengar Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda

bahawa,

“Wali Abdal berada di Negeri Syam dan mereka berjumlah empat puluh orang kesemuanya. Apabila seorang daripada mereka mati, Allah Subhanahu WaTa’ala akan menggantikan tempatnya dengan seorang yang lain. Dengan menerusi keberkatan mereka maka diturunkan hujan dan membantu mereka menghadapi musuh-musuh dan menjauhkan azab bagi para penduduk Syam.”

 

ABRAR

Kebanyakan Ulama mengatakan bahawa Wali Abdal adalah Wali Abrar.

 

AKHYAR

Terdapat lima ratus orang Wali Akhyar kesemuanya dan adakalanya meningkat

sehingga tujuh ratus orang. Kedudukan mereka ada di merata tempat di atas muka

bumi ini. Terdapat Hussain pada nama mereka.

 

AQTAB

Terdapat 2 jenis Wali Aqtab: 

1. AQTAB MU‘AIYINAH - Terdapat satu Qutub Al-‘Alam yang dikenali juga sebagai Qutub Akbar atau Qutub Al-Irshad atau Qutub Al- Aqtab atau sebagai Qutub Al-Madar. Namanya di Alam Ghaib ialah ‘Abdullah dan memiliki dua orang pembantu. Di bawahnya terdapat dua belas orang Wali Qutub. Tujuh orang dari Wali Qutub tersebut menduduki tujuh benua dan dinamakan mereka sebagai Qutub Aqlim dan lima orang dari Wali Qutub tersebut tinggal di Negara Yaman. Mereka dinamakan
sebagai Qutub Wilayat. 

2. AQTAB GHAIR MU‘AIYINAH - Terdapat di setiap bandar atau kariah, seorang Qutub yang akan mendoakan kesejahteraan dan memohon dijauhkan dari segala bala dan musibah. 

AUTAD

Tedapat 4 orang kesemuanya dan mereka menduduki empat penjuru alam.

 ‘IMAD

Terdapat 4 orang kesemuanya dan mereka juga menduduki empat penjuru alam dan bernama Muhammad.

 GHAUTS
Hanya seorang sahaja Ghauts pada setiap zaman dan sebahagian Ulama mengatakan bahawa dia juga adalah Qutub Al-Aqtab dan sebahagian Ulama mengatakan tidak. Beliau tinggal di Mekah dan sebahagian Ulama mengatakan bahawa dia tidak tinggal di Mekah.

MUFRADAN
Seseorang Wali Ghauts yang menuju kepada maqam Qutub Al-Aqtab akan terlebih dahulu melalui kedudukan Wali Fard atau dikenali sebagai Mufradan atau Mufarridan.

MAKTUMAN
Mereka adalah Auliya yang tersembunyi dan tidak diketahui keadaan mereka.

NUJABA
Mereka berjumlah 70 orang kesemuanya dan tinggal di Negara Mesir serta terdapat Hassan pada nama mereka. 

NUQABA
Mereka berjumlah tiga ratus orang kesemuanya dan mereka tinggal di Negara Maghribi (Maroko) dan mereka bernama ‘Ali.

QUTUB
Terdapat 2 jenis Wali Qutub:

1. QUTUB AL-IRSHAD - Yang pertama adalah mereka yang memberi khidmat petunjuk, memperbaiki hati, mentarbiyah nafsu, membimbingkepada jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan makbul di sisiNya. Mereka dikenali sebagai Ahli Irshad. Dari kalangan mereka ini yang paling sempurna dan terbaik di zaman masing-masing dan memiliki limpahan Faidhz yang sempurna, maka mereka digelar sebagai Qutub Al-Irshad. Mereka adalah Naib Para Anbiya yang hakiki. Hati-hati manusia bercahaya dan diberkati kerana mereka dan syarat bagi memperolehi keberkatan tersebut dari mereka adalah dengan meletakkan I’tiqad serta kepercayaan yang penuh terhadap mereka. Keupayaan mereka seumpama Nubuwwat.

 2. QUTUB AT-TAKWIN 
Kemudian ada golongan yang kedua iaitu mereka yang berkhidmat mengislahkan manusia dan mentadbir urusan keagamaan dan sebagai penghindar bala dan musibah yang mana dengan kehendak Batin mereka dengan izin Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan memperbetulkan urusan-urusan tersebut. Mereka digelar sebagai Ahli Takwin. Dari kalangan mereka itu yang paling tinggi dan kuat kedudukannya dan menjadi penghukum atau penyembuh bagi mereka yang lain, maka mereka itu digelar sebagai Qutub At-Takwin. Hal kehidupan mereka sepertimana kehidupan Hadhrat Baginda Nabi Besar Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan menjalankan urusan pentadbiran. Hadhrat Khidhr ‘Alaihissalam menduduki maqam seperti ini. Dengan kedudukan mereka yang tinggi maka terzahirlah perkara-perkara yang ajaib dan perkara ini adalah lazim. Keadaan mereka tidak seperti Ahli Irshad kerana pada Ahli Irshad tidaklah semestinya berlaku perkara-perkara yang menyalahi adat.  Ahli Irshad memiliki Karamat dalam bentuk yang berbeza di mana orang orang awam tidak dapat memahaminya, bahkan ianya adalah urusan yang berupa Zauq dan perasaan Syauq. Seseorang yang berhajat dan berkhidmat dengan mereka ini dalam suatu jangkamasa yang panjang akan beroleh faedah yang besar dan adalah mereka ini mengetahui keadaan tersebut. 

Perkataan Qutub pada pengertian bahasa ‘Arab bererti penghulu kaum manakala menurut istilah Ahli Tasawwuf dan Tariqat, Qutub bererti Penghulu bagi Para Auliya Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Mereka berada pada tingkatan yang teratas dari kebanyakan Para Wali serta terhimpun padanya kesempurnaan Syari’at, Tariqat, Ma’rifat dan Haqiqat. Para Qutub menjadi tempat rujukan dan petunjuk bagi Para Wali yang lain. Mereka membantu menyembuhkan penyakit-penyakit hati yang ada dalam diri Para Wali dan orang-orang yang menuju kepada Kewalian. Kedudukan mereka sangat tinggi dan tidak mudah dicapai melainkan dengan Rahmat dari Allah

Subhanahu Wa Ta’ala. Mereka ada di tiap pelosok muka bumi dan tidak seorang pun yang mengenali mereka kecuali bagi orang-orang yang benar-benar ikhlas ingin mengenali mereka dan mengambil istifadah ruhaniah yakni faedah keruhanian dari mereka. 

Di dalam kitab Jami’ Karamatil Auliya dinyatakan bahawa Wali Qutub diberi gelaran ‘Abdullah dan tingkatan Wali sesudahnya adalah Wali Aimmah yang berjumlah dua orang sahaja. Seorang diberikan nama ‘Abdur Rabb dan seorang lagi bernama ‘Abdul Malik. Dua orang Wali inilah yang nantinya akan menggantikan Wali Qutub ketika dia wafat meninggalkan Dunia. Di bawah keduanya terdapat Wali Autad yang berjumlah empat orang dan mempunyai tugas yang berlainan pada kawasan yang berlainan. Seorang di Timur, seorang di Barat, seorang di Utara dan seorang di Selatan. Wali Autad adakalanya terdiri dari kalangan kaum perempuan.

Tingkatan selanjutnya di bawah mereka adalah Wali Abdal dan mereka berjumlah tujuh orang dan ditugaskan menjaga tujuh iklim benua di Dunia. Kemudian ada tingkatan Wali Nuqaba iaitu Wali Pengganti sebanyak dua belas orang di setiap peredaran masa dan jumlah mereka tidak akan pernah bertambah mahupun berkurang sesuai dengan jumlah Buruj Falak yang berjumlah dua belas. Kemudian terdapat juga di bawah mereka tingkatan Wali Nujaba yang berjumlah lapan orang dan tingkatan yang terakhir sekali adalah tingkatan Hawariyun.

Wallahu A’lam.
Menurut Hadhrat Syeikh Muhammad Hisham Kabbani Quddisallahu Sirruhu terdapat lima tingkatan Qutub yang tertinggi iaitu:

1. Qutub

2. Qutub Al-Bilad

3. Qutub Al-Mutasarrif

4. Qutub Al-Irshad

5. Qutub Al-Aqtab

Menurut beliau, Qutub adalah seseorang yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala kurniakan keupayaan menerusi Hakikat Muhammadiyah untuk menghuraikan ilmu pengetahuan tentang hakikat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebelum kewujudannya sehinggalah diutuskan ke Dunia. Qutub juga menghuraikan cabang cabang ilmu pengetahuan yang baru menerusi hati Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam.  

Qutub Al-Bilad adalahbertanggungjawab untuk mentadbir urusan di Dunia dan memastikannya berjalan lancar. Dia mengetahui tentang keperluan jasmani setiap bangsa manusia dan bukan manusia. Qutub Al-Mutasarrif diberikan kemuliaan untuk mengarahkan Malaikat kepada manusia atau makhluk yang berlainan dan dia bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada makhluk sehinggakan kepada ulat di dalam batu. Segala kemuliaan ini diperolehinya menerusi Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Qutub Al-Irshad pula bertanggungjawab untuk memberikan nasihat dan petunjuk kepada seratus dua puluh empat ribu Para Wali manakala Qutub Al-Aqtab pula bertanggungjawab mengawasi kesemua Wali Aqtab.

 
Di atas sekelian Wali Qutub dan Aqtab adalah Ghauts dan Rohaniahnya

adalah yang paling dekat dengan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada zamannya. Ghauts ada pada setiap zaman dan dia diibaratkan seperti suatu terusan yang akan membawa sesiapa sahaja yang dikehendakinya kepada Hakikat Muhammadiyah dan Hakikat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Hadhrat Khwajah Khwajagan Ghautsul Tsaqilain Shah Muhammad Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih merupakan salah seorang dari mereka sepertimana Hadhrat Qutubul Aqtab Ghautsul A’zam Syeikh ‘Abdul Qadir Al- Jailani Rahmatullah ‘alaih, Hadhrat Ghautsul Aqtab Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih dan begitu juga Hadhrat Imam Rabbani Ghauts As- Samdani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih.

Mereka datang silih berganti pada setiap zaman sama ada mereka diketahui ataupun tidak diketahui. Para Wali Qutub, Aqtab dan Ghauts menghasilkan limpahan ilmu kerohanian terus dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menerusi hati ke hati. Mereka diberikan pengetahuan tentang segala perkara dan kejadian yang berlaku di atas muka bumi yang berkaitan dengan angin ribut, gempa bumi dan hujan yang lebat. Mereka selalunya dari keturunan yang mulia Ahli Keluarga Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu menerusi Hassani dan Hussaini. Meskipun jika seseorang yang dikurniakan Qutub atau Aqtab atau Ghauts tidak mempunyai pertalian keturunan Hassani mahupun Hussaini, mereka adalah orang-orang yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala hendak meninggikannya sepertimana Hadhrat Salman Al-Farisi Radhiyallahu ‘Anhu yang mendapat pengiktirafan sebagai Ahli Keluarga Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Meskipun beliau adalah seorang A’jam yang datang berhijrah dari Parsi dan memeluk Islam setelah bertemu dengan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, namun kerana ketinggian Iman dan amalannya yang Ikhlas, beliau telah diisytiharkan sebagai Ahlul Bait Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Adapun kedudukan yang lebih tinggi dari yang tersebut di atas, adalah Sultanul Auliya dan ianya merupakan kedudukan yang tertinggi bagi seseorang Wali Allah. Mereka diberikan kewajipan untuk memenuhi keperluan hati dan ruhani manusia. Mereka membawa raja-raja di Dunia kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sultanul Auliya merupakan Khalifah Allah yang sebenar di atas muka bumi pada zamannya dan dia merupakan wakil Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah

Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sementara seratus dua puluh empat ribu Para Wali yang lain adalah sebagai mewakili kesemua seratus dua puluh empat ribu Para Nabi dan Rasul ‘Alaihimus Solatu Wassalam. Wallahu A’lam. 

Walaubagaimanapun, satu perkara yang perlu sentiasa dipegang oleh sekelian Ahli Tariqat bahawasanya Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah Khatamun Nabiyyin yang bererti Penutup Sekelian Nabi. Ini bermaksud, sesudah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, tidak akan ada lagi sebarang Nabi atau Rasul yang baru akan muncul dengan membawa sebarang Syari’at yang baru sehinggalah ke Hari Qiyamat yang mana inilah merupakan ‘Aqidah sekelian Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang telah disepakati. Jika ada yang mendakwa dirinya sebagai Nabi atau Rasul atau mendakwa membawa suatu Syari’at yang baru untuk ummat manusia dan ianya bercanggah dengan Syari’at yang telah dibawakan oleh Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka adalah diyakini bahawa ianya tertolak, manakala orang yang mengeluarkan dakwaan tersebut adalah sesat dan jika dia mengajak manusia lain maka adalah dia itu sesat lagi menyesatkan, dan adalah mereka itu Dajjal-Dajjal kecil yang sememangnya ditakdirkan wujud sesudah kewafatan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di kalangan Ummat sepertimana Musailamah Al-Kazzab dan ini merupakan suatui ujian atas keimanan dan I’tiqad di kalangan Ummat Islam. Adapun Hadhrat Baginda Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam yang akan muncul menjelangnya Hari Qiyamat bukanlah Nabi yang baru kerana Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam telah pun dihantar 600 tahun sebelum kelahiran Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan pada usia 33 tahun telah diangkat ke langit. Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam tidak akan membawa sebarang Syari’at yang baharu, sebaliknya beliau akan turun sebagai seorang Ummat Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan melaksanakan Syari’at Islam dengan Haq.

Wallahu A'lam Wa 'Ilmuhu Akmal Wa Atam.

 

 

MARTABAT PARA AULIA ALLAH


ADALAH terkenal di kalangan Para Wali dengan tingkatan kedudukannya di AlamRuhaniyah iaitu suatu yang berupa hirarki tingkatan dan kuasa keruhanian. Tingkatan kekuasaan yang tertinggi yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala berikan hanya kepada satu hamba sahaja dan dia takkan digantikan kecuali dia wafat. Mereka di gelarkan dengan gelaran Qutub kerana telah mencapai maqam Qutbaniyat yakni maqam yang khas dikalangan Para Wali. Perumpamaan yang dapat hamba berikan adalah Para Wali itu diibaratkan seperti Para Nabi dan Para Qutub itu pula diibaratkan seperti Para Rasul di kalangan Ummat Muhammadiyah ini. Wallahu A’lam.

Menurut sebuah Hadits yang telah dikeluarkan oleh Hadhrat Abu Na’im dan Hadhrat Ibnu ‘Asakir yang meriwayatkan daripada Hadhrat ‘Abdullah Ibnu Mas’ud Radhiyallahu ‘Anhu berkata bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah

Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda,

“Sesungguhnya bagi Allah ‘Azza Wa Jalla ada 300 orang dari kalangan manusia ini yang hati mereka itu seperti hati Nabi Adam ‘Alaihissalam, dan bagi Allah itu ada 7 orang di kalangan manusia yang hati mereka itu seperti hati Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, dan bagi Allah itu ada 40 orang di kalangan manusia yang hati mereka itu seperti hati Nabi Musa ‘Alaihissalam, dan bagi Allah itu ada 5 orang di kalangan manusia yang hati mereka itu seperti hati Jibril ‘Alaihissalam, dan bagi Allah itu ada 3 orang di kalangan manusia yang hati mereka itu seperti hati Mikail ‘Alaihissalam, dan bagi Allah itu ada seorang di kalangan manusia yang hati mereka itu seperti hati Israfil ‘Alaihissalam. Apabila wafat yang seorang ini, maka Allah akan menggantikannya dengan melantik salah seorang dari yang 3 orang itu. Apabila wafat seorang dari yang 3 orang itu maka Allah akan menggantikannya dengan melantik salah seorang dari yang 5 orang itu. Apabila wafat seorang dari yang 5 orang itu maka Allah akan menggantikannya dengan melantik salah seorang dari yang 7 orang itu. Apabila wafat seorang dari yang 7 orang itu maka Allah akan menggantikannya dengan melantik salah seorang dari yang 40 orang itu. Dan apabila wafat seorang dari yang 40 orang itu maka Allah akan menggantikannya dengan melantik salah seorang dari golongan yang 300 orang itu. Dan apabila wafat seorang dari yang 300 orang itu, maka Allah menggantikannya dengan melantik salah seorang dari kalangan orang ramai. Maka dengan Para Wali yang tersebut itulah seseorang itu dihidupkan dan dimatikan, diturunkan hujan, dihidupkan tumbuh-tumbuhan dan dihalang bala dari menimpa ummat manusia ini.” Hadhrat ‘Abdullah Ibnu Mas’ud telah ditanya, “Bagaimana dikatakan bahawa dengan Para Wali itulah seseorang itu dihidupkan dan dimatikan?” Beliau menjawab, “Kerana Para Wali itu memohon kepada Allah supaya Allah meramaikan bilangan manusia, maka manusia pun menjadi bertambah ramai. Mereka itu berdoa kepada Allah agar orang-orang yang zalim dan tidak berbelas kasihan dibinasakan, maka mereka itupun dihancurkan. Mereka memohon supaya diturunkan hujan, maka diturunkanlah hujan. Mereka memohon agar disuburkan bumi, maka suburlah bumi. Mereka itu berdoa, maka dengan doa mereka itu dijauhkan berbagai rupa bala.”
 

Bilangan Para Wali tidak dapat ditentukan jumlahnya yang sebenar kerana mereka adalah Ahli-Ahli Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan hanya Dialah yang tahu berapakah jumlah bilangan yang sebenar Para AuliyaNya. Namun bilangan mereka yang khusus dari kalangan Para Wali itu adalah tetap sepertimana yang ada dinyatakan dalam sebuah Hadits yang diriwayatkan oleh Hadhrat Abu Na’im Rahmatullah ‘alaih bermafhum,

“Orang-orang yang terbaik dari kalangan Ummatku pada setiap kurun itu ialah seramai lima ratus orang.”

Mereka adalah orang-orang yang ‘Arif tentang Allah serta tekun membuat kebaikan dan menjauhkan maksiat dan nafsu syahwat. Ingatan mereka hanya tetap kehadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dalam sebuah Hadits yang diriwayatkan oleh Hadhrat Imam Muslim dan At-Tirmizi Rahmatullah ‘alaihima bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda yang mafhumnya, 

“Telah beroleh kemenangan golongan Al-Mufarridun.” Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya, “Siapakah mereka itu, Ya! Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam? Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Mereka itu ialah orangorang yang sangat suka menghabiskan masa untuk berzikir mengingati Allah. Zikir itu tidak memberatkan mereka, maka mereka itu akan datang di Hari Qiyamat dalam keadaan ringan.”

Sebuah Hadits ada menyatakan yang mafhumnya,

“Satu golongan dari Ummat Islam ini sentiasa dapat menegakkan kebenaran, tidak akan membahayakan mereka orang yang menentang mereka itu sehinggalah datang ketentuan urusan Allah Ta’ala.”

 Dalam sebuah Hadits yang telah diriwayatkan oleh Hadhrat An-Nasa’I dan Hadhrat Ibnu Hibban Rahmatullah ‘alaihima, bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda,

“Sesungguhnya ada hamba-hamba dari kalangan Hamba Allah yangdipandang tinggi dan sangat mulia oleh Para Nabi dan Syuhada.” Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah ditanya, “Siapakah mereka itu, Ya! Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam? Mudahmudahan kami juga kasihkan mereka. Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Mereka itu ialah kaum yang berkasih sayang antara satu dengan yang lain dengan Nur Allah tanpa memandang kepada harta kekayaan dan keturunan. Wajah-wajah mereka adalah bercahaya dan mereka itu adalah berada di atas limpahan Cahaya Allah. Mereka tidak akan berasa takut walaupun manusia lainnya berasa takut dan mereka tidak akan berasa dukacita bila manusia lain berdukacita.”

 Hadhrat Mujaddidul Millat Maulana Ashraf ‘Ali Thanwi Rahmatullah ‘alaih  enyatakan bahawa, istilah-istilah Tasawwuf terbahagi kepada dua jenis. Yang pertama ialah apa yang bertakluk dengan maksud, iaitu apa yang terkandung di dalam Syari’at, yang  ana hakikat segala istilah yang digunakan dalam Tasawwuf adalah untuk merujuk kepada Syari’at. Yang kedua ialah, istilah-istilah yang digunakan untuk perkara-erkara tambahan. Ianya digunakan untuk menyatakan perkara-perkara yang di luar Syari’at, sebagai contohnya Tajdid Imtsal, Tauhid Wujudi, Shughal, Rabitah dan sebagainya. Perkara ini merupakan sesuatu yang halus di kalangan Para Sufi yang mulia, yang mana bagi menyembunyikan rahsia mereka dari pengetahuan umum, maka mereka pun menggunakan berbagai istilah. Jikalau tidak, tentulah ianya akan bercanggah dengan Al-Quran dan Hadits, maka wujudlah perkataan-perkataan yang baharu. Sebahagian ‘Ulama yang tidak mengerti dengan penggunaan istilah mereka telah membantah ke atas mereka, yang mana pada hakikatnya memang perkara itu  tidak berlaku secara Waqi’, bahkan ianya hanya berlaku pada sudut kefahaman seseorang.

WILAYAT & QUTBANIYAT



WILAYAT bererti maqam kewalian dan ia merupakan maqam yang khas di kalangan Ummat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang beriman. Seseorang yang telah mengamalkan Syari‘at Islam dengan sempurna dan menuruti Tariqat yang dibawakan oleh Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan menuruti segala Adab dan Sunnahnya, Makrifat dan mengenal Zat Allah dengan Sifat-SifatNya, Nama- NamaNya serta Perbuatan-PerbuatanNya dengan keyakinan yang sempurna serta telah mencapai Haqiqat dalam kefahamannya tentang wajibnya kewujudan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, hakikat Kenabian Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, hakikat Agama, hakikat kewujudan diri, dan segala hakikat kewujudan makhluk dan alam semesta, dia pasti akan Allah Subhanahu Wa Ta’ala angkatkan ke darjat Para WaliNya.

 

Wali adalah seseorang yang beriman kepada Allah dan Rasul dengan keimanan yang sempurna dan dia sentiasa dilindungi oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan membantunya dalam setiap urusan. Allah mengasihinya dan dia mengasihi Allah. Di dalam hatinya tidak ada rasa takut terhadap makhluk dan tidak ada rasa kesusahan hati baginya. Perkataan Auliya adalah lafaz jamak bagi Wali yang bererti Para Wali dan memberikan makna Para Kekasih Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Para Wali adalah

mereka yang menjadikan Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai pelindung dan sentiasa menyerahkan segala urusan mereka kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala itu adalah Al-Waliy yang bererti Yang

Maha Melindungi dan Dialah juga Al-Wali yang bererti Yang Maha Memerintah

dan Menguasai Segala Urusan.

 

Perkataan Wali dari sudut timbangan wazan dalam bahasa ‘Arab boleh membawa makna Isim Fa’il yang bermaksud katanama pelaku dan ianya juga boleh membawa makna Isim Maf’ul yang bermaksud katanama bagi sesuatu yang kena dari perlakuan tersebut. Jika diandaikan perkataan Wali itu membawa makna Isim Fa’il, maka Wali itu bermaksud, orang yang sentiasa menjaga ketaatannya terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan menolak semua perkara yang selain dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kerana itulah, maka Wali adalah seorang yang mendapat pertolongan dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala . Jika diandaikan perkataan Wali itu membawa makna Isim Maf’ul, maka perkataan Wali itu bermaksud, orang yang sentiasa dijaga dan dilindungi oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Jesteru, seorang Wali itu jika dilihat dari sudut hamba, maka dia sentiasa taat menjaga hukum Allah Subhanahu Wa Ta’ala, melaksanakan segala yang telah diperintahkan dan meninggalkan segala yang telah dilarang oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Jika dilihat dari sudut Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka dia sentiasa dijaga dan dilindungi oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga dia boleh melakukan ketaatan kepadaNya.

 

Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah berfirman di dalam Al-Quran pada Surah Yunus ayat 62 – 64 bagi menerangkan keadaan Para WaliNya yang bermaksud,

“Ingatlah, sesungguhnya Wali-Wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di Dunia dan di Akhirat, tidak ada perubahan bagi kalimah janji-janji Allah, yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.”

 

Para Wali sentiasa mendapat perlindungan khusus dari Allah dan di kalangan mereka ada yang mencapai berbagai tahap dan tingkatan kesucian. Mereka adalah

orang-orang yang sentiasa menyucikan dan mensucikan diri dengan Istighfar, Taubat, Zikrullah dan Selawat serta pembacaan Al-Quran.

 

Di dalam kitab Risalah Qusyairiyah ada dinyatakan ciri-ciri untuk mengenal

pasti bahawa seseorang itu adalah Wali Allah dan ianya menerusi tiga perkara, iaitu:

 

1) Mereka selalu menyibukkan diri dengan beribadah kepada Allah Subhanahu

Wa Ta’ala.

2) Mereka selalu bermunajat, meminta dan memohon kepada Allah Subhanahu Taala

3) Mereka menjadikan maksud dan tujuan mereka satu iaitu Allah SubhanahuWaTa’ala

Hadhrat ‘Abdullah As-Salim Rahmatullah ‘alaih mentakrifkan Wali sebagai,“Mereka yang dapat dikenal kerana bicara mereka yang baik, tingkah laku yang sopan, merendahkan diri, murah hati, tak suka berselisih, menerima permintaan maaf dari siapa saja yang meminta maaf kepadanya, halus budi terhadap segala ciptaan baik yang elok rupanya mahupun yang buruk.”

 

Hadhrat Ibnu ‘Arabi Rahmatullah ‘alaih menyatakan bahawa, “Seseorang itu disebutkan sebagai Wali apabila dia sudah mencapai tingkatan Ma’rifat, iaitu tingkatan tertinggi dalam tingkatan Tasawwuf Akhlak. Tetapi yang sulitnya Ma’rifat ini tidak dapat diperolehi melalui teori atau manhaj. Ma’rifat adalah pemberian dan anugerah dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala.”

 

Hadhrat Abu Yazid Al-Bistami Rahmatullah ‘alaih berkata bahawa, “Wali ialah seorang yang sentiasa sabar di bawah suruhan dan larangan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.” Walaubagaimanapun, di kalangan Para Wali dan Auliya, Wilayat merupakan

suatu maqam yang umum yang mampu dicapai oleh sekelian Ummat Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan di sisi Allah terdapat suatu maqam kewalian yang lebih tinggi dan merupakan suatu maqam yang khusus di kalangan Para Wali yang menduduki maqam Wilayat dan ianya merupakan maqam Qutbaniyat. Ianya merupakan suatu kedudukan yang khusus bagi golongan yang khas. Terdapat berbagai jenis Wali yang datang silih berganti yakni apabila wafatnya salah seorang dari mereka maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan mengangkat seorang lagi hambanya dikalangan orang-orang yang beriman untuk menggantikan tempat WaliNya yang telah wafat.

 

Iman merupakan syarat utama kerana sekiranya seseorang itu tidak beriman, bagaimanakah dia hendak mengenali Penciptanya? Walaubagaimanapun, hanya orang-orang beriman yang telah mencapai martabat Iman dan ‘Amal yang sempurna

kepada Allah dan Rasul, barulah Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan mengangkatnya

sebagai Wali. Seseorang Wali sekali-kali tidak akan dapat mencapai pangkat Nabi dan sesungguhnya setiap Nabi adalah Wali.Hadhrat Ibrahim bin Adham Rahmatullah ‘alaih pernah bertanya kepada seorang lelaki,

“Apakah kamu suka bila Allah menjadikanmu seorang Wali?”

Kemudian lelaki itu menjawab,

“Ya, aku suka.” Ibrahim bin Adham Rahmatullah ‘alaih lalu berkata, “Janganlah engkau menyenangi perkara dunia dan akhirat tetapi kosongkanlah jiwamu untuk Allah semata dan hadapkan wajahmu kepada Nya supaya Allah menerimamu dan menjadikanmu sebagai WaliNya.”

Hadhrat Syeikh Ahmad Al-Fathani Rahmatullah ‘alaih telah menyatakan di dalam kitabnya Faridatul Faraid bahawa, “Mengi’tiqadkan tsabit Karamat bagi Para Auliya pada ketika hidup dan setelah wafat mereka adalah wajib. Karamat atau Karamah ialah sesuatu pekerjaan atau perbuatan atau perlakuan yang menyalahi dan mencarik adat secara nyata dan ianya dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada hamba-hambaNya yang beriman lagi beramal soleh. Mereka adalah orang-orang yang sentiasa mendirikan dan menegakkan segala hak-hak Allah di atas muka bumi.” Berkata Hadhrat Syeikh Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Ahmad An- Nasafi Rahmatullah ‘alaih di dalam kitabnya ‘Aqaid An-Nasafi menyebutkan bahawa,

“Segala Karamah yakni segala perlakuan yang mulia dan indah yang terbit dari segala Wali itu adalah kebenaran yang Haq. Maka menjadi nyatalah segala Karamah itu atas jalan melawan adat bagi seseorang Wali, seperti melalui perjalanan yang jauh dalam masa yang sedikit, kelihatan hadirnya makanan atau minuman atau pakaian tatkala berkehendak, berjalan di atas air dan pada udara, boleh berkata-kata

dengan Jamad yakni segala benda yang bersifat beku dan juga boleh berkata-kata dengan ‘Ajma yakni segala benda yang tidak tahu berkata-kata, dapat menolak sesuatu bala yang dihadapi, dapat memelihara daripada sesuatu yang mendukakan

dari kalangan musuh dan seteru serta berbagai-bagai lagi yang selain dari yang telah

disebutkan.”

 

Adapun perkara yang sedemikian itu apabila berlaku ke atas Para Nabi maka ianya disebutkan sebagai Mukjizat dan bagi orang-orang yang beriman, perkara tersebut dinamakan sebagai Karamat. Apabila perkara-perkara yang berbentuk Karamat ini Allah Subhanahu Wa Ta’ala zahirkan di kalangan Ummat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ianya adalah untuk menzahirkan bahawa sesungguhnya dia itu seorang Wali. Hadhrat Ibnu ‘Ataillah Al-Iskandari Rahmatullah ‘alaih ada menyebut, “Maha Suci Allah yang telah menutup berbagai rahsia Wali dengan ternampaknya sifat-sifat manusia biasa.” Menurut Hadhrat Syeikh Abu ‘Abbas Al-Mursi Rahmatullah ‘alaih bahawa, “Jika Allah bukakan dan perlihatkan rahsia atau Nur Kewalian itu nescaya boleh merosakkan Tauhid Wali itu sendiri. Misalnya Hadhrat Mansur Al-Hallaj Rahmatullah ‘alaih yang pernah mengucapkan:

“Maha Suci Engkau, Maha Suci Aku” adalah ketika Nur Kewaliannya Tajalli pada dirinya.”

 

 

NUBUWAT & RISALAT


NUBUWWAT bererti Kenabian dan Risalat bererti Kerasulan. Kenabian bermaksud seseorang yang dikurniakan dengan kedudukan sebagai seorang Nabi Allah manakala Kerasulan pula bermaksud seseorang yang telah dikurniakan dengan kedudukan sebagai Rasul Allah. Nabi dan Rasul adalah orang-orang pilihan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Mereka telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala

untuk menjadi Nabi dan Rasul. Perkataan Nabi pada pengertian bahasa bermakna seorang pemberi khabar.Pada pengertian istilah, Nabi bererti seorang yang memberi khabar gembira untuk orang-orang yang beriman dan memberi khabar ancaman untuk orang-orang yang tidak mahu beriman. Khabar yang dimaksudkan ialah perkhabaran tentang Hari Qiyamat dan perkhabaran tentang kehidupan di Hari Akhirat dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Perkataan Rasul pada pengertian bahasa bermakna seorang utusan yang menyampaikan surat dan menurut pengertian istilah, Rasul bermakna seorang utusan atau pesuruh yang menyampaikan Risalah Syari’at Islam iaitu Al-Quran dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada ummat manusia. Setiap Nabi bukanlah Rasul namun setiap Rasul adalah Nabi. Nisbat yang ada di antara kedudukan Nabi dan Rasul ini ialah Nabi bersifat umum manakala Rasul pula bersifat khusus.

 

Menurut Para ‘Ulama terdapat lebih 124,000 Para Nabi dan di antara mereka Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah mengangkat sebanyak 313 orang menjadi Rasul. Ada sebahagian ‘Ulama mengatakan terdapat 315 orang Rasul kesemuanya. Hanya sebahagian dari mereka sahaja yang ada disebutkan di dalam Al-Quranul Karim manakala yang lain tidak dinyatakan.

 

Terdapat 33 Nabi yang masyhur iaitu Hadharat Adam, Idris, Syiths, Nuh, Hud, Salih, Luth, Ibrahim, Isma’il, Ishaq, Ya’aqub, Yusuf, Ayyub, Shu’aib, Musa, Harun, Yusha’, Khidhzr, Ilyas, Ilyasa’ Dzulkifli, Sham’un, Ishmoil, Yunus, Daud, Sulaiman, Luqman, Dzulqarnain, Zakariyya, Yahya, ‘Uzair, ‘Isa dan Muhammad ‘Alaihimus Solatu Wassalam. Nama Para Nabi yang ada dinyatakan di dalam Al-Quran hanya terdapat 28 orang, yakni yang tidak disebut adalah Hadharat Nabi Syiths, Khidhzr, Yusha’, Sham’un dan Ishmoil ‘Alaihimus Solatu Wassalam. Dari kalangan 28 yang dinyatakan di dalam Al-Quran itu, Para ‘Ulama ada yang berselisih pendapat sama ada Hadharat Dzulqarnain, Luqman dan ‘Uzair ‘Alaihimus Solatu Wassalam diangkat sebagai Nabi ataupun tidak. Walaubagaimanapun 25 orang yang ada disebutkan di dalam Al-Quran adalah Nabi dan Rasul Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Terdapat 6 orang Nabi yang diberikan gelaran sebagai Ulul ‘Azmi kerana mereka telah diuji dengan ujian yang besar dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan mereka itu adalah Hadharat Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi ‘Isa dan Nabi Muhammad Rasulullah ‘Alaihimus Solatu Wassalam.

 

Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menurunkan 4 kitab-kitabNya kepada 4 orang Nabi dan Rasul iaitu Kitab Taurat kepada Hadhrat Nabi Musa ‘Alaihissalam, Kitab Zabur kepada Hadhrat Nabi Daud ‘Alaihissalam, Kitab Injil kepada Hadhrat Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam dan Kitab Al-Quran kepada Hadhrat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Mereka kesemuanya adalah Rasul yang membawa Syari’at kepada ummat mereka masing-masing. Allah Subhanahu Wa Ta’ala juga telah menurunkan 100 Suhuf, 60 Suhuf kepada Nabi Ibrahim, 30 Suhuf kepada Nabi Syiths dan 10 Suhuf kepada Nabi Musa ‘Alaihimussalam.