Monday, 5 November 2012

FADHILAT ZIKRULLAH



AMALAN Zikir memiliki berbagai kelebihan sepertimana yang masyhur dinyatakan dalam kitab-kitab Hadits. Hadhrat Hafiz Ibnul Qayyim Rahmatullah ‘alaih yang merupakan seorang ‘Ulama Hadits telah menyatakan berbagai-bagai penjelasan mengenai kelebihan Zikir. Beliau menyatakan terdapat lebih dari seratus faedah yang dapat diperolehi menerusi amalan Zikir dan telah beliau nukilkan sebanyak tujuh puluh sembilan faedah di dalam sebuah risalah yang bertajuk Al-Wabil. Hadhrat Maulana Muhammad Zakaria Al-Kandahlawi Rahmatullah ‘alaih telah meyalin faedah-faedah itu satu persatu secara ringkas dalam kitabnya Fadhail Zikir dan hamba pun menyalinnya sebagai berikut:

 

1. Zikir adalah menjauhkan Syaitan dan menghancurkan kekuatannya.

2. Zikir adalah menyebabkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala redha.

3. Zikir adalah menjauhkan dukacita daripada hati manusia.

4. Zikir adalah menggembirakan hati.

5. Zikir adalah menguatkan badan dan menyeronokkan sanubari.

6. Zikir adalah sinaran hati dan muka.

7. Zikir adalah menyebabkan datangnya rezeki dengan mencurah-curah yakni memurahkan rezeki.

8. Zikir adalah membawa orang yang berzikir itu kepada kehebatan dan kegagahan yakni dengan memandang wajahnya seseorang merasa gentar 9. Zikir adalah melahirkan cinta sejati terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana cinta itulah merupakan Ruh Islam, jiwa agama dan sumber kejayaan dan kebahagiaan. Barang siapa ingin mendapatkan cinta Ilahi itu maka hendaklah dia berzikir sebanyak-banyaknya. Sebagaimana mutala’ah dan muzakarah itu merupakan pintu kejayaan ilmu, demikianlah Zikrullah itu merupakan pintu Cinta Ilahi.

 

10. Zikir adalah mendatangkan hakikat Muraqabah dan Muraqabah itu membawa seseorang kepada martabat Ihsan. Denganadanya martabat Ihsan maka manusia dapat beribadat kepada Allah dalam keadaan yang seolah-olah dia melihatNya dan keadaan seperti inilah yang merupakan tujuan asasi daripada perjuangan Para Sufi.

 

11. Zikir adalah membawa seseorang kepada penyerahan diri dengan sebulatbulatnya kepada Allah. Dengan ini lama kelamaan maka setiap urusan dan

dalam setiap keadaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadi pelindung dan pembantu baginya.

 

12. Zikir adalah membawa seseorang kepada Taqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah. Jika zikir itu bertambah banyak maka dengan sendirinya dia bertambah dekat kepada Allah dan sebaliknya jika dia bertambah lalai daripada berzikir maka dengan sendirinya dia bertambah jauh daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

 

13. Zikir adalah membukakan pintu Ma’rifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

14. Zikir adalah melahirkan di dalam hati seseorang akan keagungan dan kehebatan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan melahirkan semangat buat merapatkan diri denganNya.

 

15. Zikir adalah menyebabkan Allah Subhanahu wa Ta’ala ingat kepada seseorang yang ingat kepadaNya sepertimana disebutkan di dalam Al-Quran: “Fazkuruni Azkurkum.” Ertinya: Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat pula kepadamu. Dan diterangkan pula di dalam Hadits: “Man Zakarani Fi Nafsihi, Zakrtuhu Fi Nafsi.” Ertinya: Barangsiapa mengingati Aku di dalam hatinya, nescaya Aku mengingatinya pula di dalam hatiKu.”

 

16. Zikir adalah menghidupkan hati. Hafiz Ibnu Taimiyah Rahmatullah ‘alaih berkata bahawa perbandingan Zikrullah dengan hati seseorang adalah ibarat ikan dengan air. Ingatlah, apakah halnya ikan itu jika ia tidak berada di dalam air?

 

17. Zikir adalah santapan bagi Ruh dan Hati. Andaikata jika kedua-duanya tidak dapat menikmati santapannya maka adalah sama seperti badan yang tidak dapat makanannya.

 

18. Zikir adalah membersihkan hati daripada karat kekotorannya sepertimana diterangkan di dalam Hadits bahawa tiap-tiap sesuatu ada daki dan kekotoran baginya. Daki dan kekotoran hati ialah keinginan dan kelalaian yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan berzikir.

 

19. Zikir adalah menghapuskan dosa dan maksiat.

20. Zikir adalah menghapuskan keraguan dari seseorang terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sebenarnya hati orang yang lalai itu diselubungi oleh  rasa ragu atau gelisah terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ianya dapat dihapuskan hanya oleh Zikrullah.

21. Orang yang berzikir dengan mensucikan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, memujiNya, mengagungkanNya dan mengesakanNya, maka kalimah-kalimah zikirnya itu akan berpusing-pusing mengelilingi ‘Arash Allah Subhanahu Wa Ta’ala sambil menyebut nama penzikir itu dengan suara yang perlahan.

 

22. Barangsiapa ingat kepada Allah dalam kesenangan, Allah Subhanahu Wa

Ta’ala ingat pula kepadanya dalam kesusahan.

23. Zikir adalah melepaskan orang yang berzikir itu daripada azab Allah

Subhanahu Wa Ta’ala.

24. Zikir adalah menyebabkan turunnya Sakinah ketenangan dan Para Malaikat melingkungi orang-orang yang berzikir itu.

 

25. Zikir adalah menyebabkan selamatnya lidah seseorang yang berzikir itu daripada menumpat, mencela, berdusta, maki hamun dan bercakap yang sia sia. Telah dibuktikan oleh kenyataan bahawa barangsipa yang membiasakan lidahnya dengan berzikir maka terselamatlah daripada sifat-sifat yang keji. Sebaliknya orang yang tidak biasa dengan zikir maka dengan sendirinya dia terlibat di dalam keburukan dan sifat-sifat yang keji itu.

 

26. Majlis-majlis zikir adalah seperti majlis Para Malaikat sebaliknya majlis kelalaian yakni majlis yang peserta-pesertanya lalai daripada berzikir adalah seperti majlis Syaitan. Kini terserah kepada manusia, sertailah majlis mana yang suka. Menururt kebiasaan manusia sukakan akan sesuatu yang sesuai dengan sikap dan perangainya.

 

27. Zikir adalah memasukkan orang-orang yang berzikir itu ke dalam golongan orang-orang yang berbahagia dan demikian juga mereka yang mendampinginya. Sebaliknya orang-orang yang lalai dan membuat kerja-kerjayang sia-sia adalah tercampak ke dalam kancah kecelakaan. Demikian juga  orang-orang yang menyertai mereka itu.

 

28. Zikir akan memelihara seseorang yang berzikir daripada menyesal pada Hari Qiyamat. Di dalam Hadits ada disebutkan bahawa majlis-majlis yang terkosong daripada Zikrullah menyebabkan mendapat kerugian dan menyesal pad Hari Qiyamat.

 

29. Jika seseorang yang berzikir sambil menangis-nangis dalam keadaan sunyi diri maka pada Hari Qiyamat dia akan ditempatkan di bawah naungan ‘Arash Ilahi di mana manusia akan berteriak dan menjerit-jerit kerana kepanasan hari yang amat dahsyat itu.

 

30. Pada hati manusia ada suatu bahagian yang tidak subur melainkan dengan

Zikrullah.

 

31. Zikrullah adalah merupakan pohon di dalam Syurga.

 

32. Segala-gala amalan adalah diwajibkan semata-mata kerana Zikrullah.

 

33. Orang yang menyibukkan dirinya dengan berzikir maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan kepadanya lebih daripada orang yang meminta kepadaNya. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman: “Barangsiapa yang tertahan oleh zikirKu daripada berdoa nescaya Aku berikan kepadanya lebih daripada yang Aku berikan kepada orang-orang yang berdoa.”

 

34. Sungguhpun zikir merupakan suatu ibadat yang ringan dan mudah sekali namun ia adalah lebih afdhal dan utama daripada seluruh ibadat kerana menggerakkan lidah itu lebih mudah daripada menggerakkan seluruh badan.

 

35. Nikmat dan kekurniaan yang diberikan Allah kepada seseorang kerana zikir tidaklah diberikan kerana amal-amal yang lain yang mana diterangkan di dalam mafhum sebuah Hadits: “Barangsiapa yang membaca kalimah: La Ilaha Illa Allahu Wahdahu La Syarikalahu, Lahul Mulk Wa Lahul Hamd, Wa Huwa ‘Ala Kulli Syai in Qadir, sebanyak seratus kali pada suatu hari maka Allah memberikan pahala kepadanya yang seimbangan dengan memerdekakan sepuluh hamba sahaya dan dicatitkan di dalam buku amalannya seratus kebajikan, dihapuskan daripadanya seratus dosa, dipelihara daripada godaan Syaitan dan tidak sesiapa pun yang lebih afdhal daripadanya kecuali orang yang amalan-amalannya telah melebihi.”

 

36. Seseorang yang berzikir berterusan dengan secara Istiqamah, dia akan terselamat daripada melupakan dirinya yang menyebabkan kecelakaan Dunia dan Akhirat, kerana melupakan diri sendiri dan muslihat-muslihatnya bererti melupakan Tuhan dan yang melupakan Tuhan nescaya akan tercampak ke dalam kancah kerugian. Diperingatkan oleh Allah di dalam Kitab Suci Al- Quran pada Surah Al-Hasyar ayat 19 yang ertinya: “Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah lalu Allah menjadikan kamu seperti orang-orang yang lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.” Yakni janganlah kamu menyerupai orang-orang yang tidak menghiraukan Allah, lantas Allah menjadikan mereka tidak menghiraukan diri  mereka sendiri yakni akal fikiran mereka dilemahkan

sehingga mereka tidak dapat menjalani jalan yang menuju ke arah kejayaan yang hakiki kerana apabila manusia melupakan dirinya maka dengan sendirinya dia terlalai daripada muslihat-muslihatnya dan akhirnya dia akan menjadi mengsa kebinasaan. Sepertimana seorang petani yang melupakan sawah atau ladangnya, tidak menghiraukannya sedikit pun. Maka tentulah sawah atau ladangnya itu tidak akan mendatangkan hasil apa-apa dan akhirnya keadaan berubah menjadi belukar.

 

37. Seseorang akan merasai keamanan dan ketenangan jiwa manakala dia membasahi lidahnya dengan berzikir sehingga dia cinta kepada zikir. Sepertimana seorang yang cinta kepada air ketika dia mengalami dahaga yang amat sangat atau cinta kepada makanan ketika dia lapar ataupun cinta kepada pakaian dan rumah kediaman semasa dia merasai panas atau dingin yang amat sangat, bahkan Zikrullah itu lebih mustahak lagi kerana jika segala-gala yang disebutkan itu tidak tersedia, maka tubuh ksar manusia saja mengalami kebinasaan sedangkan tanpa zikir, Ruh dan Hati juga akan mengalami kebinasaan.

38. Zikir adalah merupakan suatu pohon yang setiap masa mendatangkan buah Ma’rifat. Menururt istilah ‘Ulama Tasawwuf, pohon itu mendatangkan buah Ahwal dan Maqamat. Semakin zikir itu diperbanyakkan semakin akar pohon itu terkukuh dan semakin akarnya kukuh semakin pohon itu mengeluarkan buah-buahannya.

 

39. Zikir adalah sumber syukur. Barangsiapa yang tidak mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dia tidak dapat bersyukur kepadaNya.

 

40. Dengan zikir, seseorang manusia mencapai kemajuan dan kejayaan dengan secara terus menerus ketika dia beristirehat ataupun berada di pasar, ketika dia sihat ataupun sakit, ketika dia sibuk dengan mengecap kenikmatan hidup ataupun berada dalam serba kekurangan. Pada setiap masa dan dalam setiap keadaan dia mencapai kejayaan. Tiada suatu apa pun yang menyebabkan dia mencapai kemajuan dengan secra terus menerus kecuali dengan zikir. Jika hatinya telah bersinar dengan sinaran zikir, maka dalam setiap keadaan dia meningkat ke martabat yang setinggi-tingginya.

 

41. Zikir adalah intisari Ilmu Tasawwuf yang diamalkan oleh setiap Ahli Tariqat. Jika telah terbuka pintu zikir bagi seseorang bererti telah terbuka baginya jalan yang menuju kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Barangsiapa yang telah menuju kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala nescaya dia telah mendapat segala-gala yang dikehendakinya kerana tidak berkurangan apa-apa pada khazanah Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

 

42. Zikir adalah menggerakkan hati manusia daripada tidur dan menyedarkannya daripada lalai. Selagi hati dan jiwa manusia tidak sedar maka selama itulah dia engalami kerugian demi kerugian.

 

43. Apabila zikir telah menguasai hati maka bukan saja ia menyubur ke bahagian hati itu sahaja bahkan ia menjadikan orang yang berzikir itu hidup dengan makmur walaupun dia tidak berharta benda, memuliakannya walaupun dia tidak berkeluarga dan menjadikannya penguasa walaupun dia tidak mempunyai kerajaan. Sebaliknya orang yang lalai daripada zikir pasti dia akan dihinakan walaupun dia mempunyai harta benda, kaum keluarga dan kerajaan yang besar.

 

44. Zikir adalah menghimpunkan kembali yang telah bercerai dan menceraikan yang telah terhimpun, mendekatkan yang jauh dan menjauhkan yang dekat, yakni hati manusia yang diselubungi oleh berbagai-bagai keraguan, dukacita dan kegelisahan itu semuanya dilenyapkan sama sekali dan dilahirkan ketenteraman dan ketenangan jiwa dan hati atau jiwa manusia yang dikuasai oleh perbuatan-perbuatan yang keji itu dibersihkan dan manusia yang senantiasa digoda dan dikuasai oleh tentera-tentera Syaitan itu diceraikan daripadanya dan Akhirat yang jauh itu didekatkan dan Dunia yang dekat itu dijauhkan dari jiwa manusia.

 

45. Zikir adalah mendekatkan kepada Zat yang zikirnya dikerjakan sehingga mendapat penyertaan denganNya sebagaimana diterangkan di dalam Al- Quran, “Inna Allaha Ma’allazi Nattaqau,” yang bererti: Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala berserta orang-orang yang bertaqwa. Diterangkan di dalam satu Hadits Qudsi, “Ana Ma’a ‘Abdi Ma Zakarani,” ertinya: Adalah Aku menyertai hambaKu selama dia mengingati Aku. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, “Orang yang mengingati Aku itu adalah orang Aku. Aku tidak menjauhkannya daripada RahmatKu. Jika mereka bertaubat dari dosa-dosa mereka, maka Aku menjadi Kekasih bagi mereka tetapi sebaliknya jika mereka tidak bertaubat maka Aku menjadi Jururawat bagi mereka lalu Aku mencampakkan mereka ke alam kancah penderitaan supaya Aku membersihkan mereka daripada dosa-dosa.”

 

46. Penyertaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang dicapai menerusi zikir itu adalah penyertaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hakikat penyertaan itu tidak mungkin dicatit dan tidak pula mungkin dibicarakan. Kelazatannya dengan ertikata yang sebenarnya boleh dirasai hanya oleh orang yang telah mencapainya. Ya Allah, berikanlah kepadaku barang sedikit daripada kenikmatanNya.

 

47. Zikir adalah seimbang dengan memerdekakan hamba, seimbang dengan membelanjakan harta dan seimbang pula dengan berjuang pada Jalan Allah.

 

48. Di dalam sebuah Hadits ada diberitakan bahawa Hadhrat Musa ‘Alaihissalam pernah berkata kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala: “Ya Allah, Engkau telah menganugerahkan kepadaku nikmat-nikmat yang amat banyak maka tunjukilah aku cara-cara bersyukur kepadaMu.” Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman kepadanya: “Sebanyak yang engkau berzikir sebanyak itulah engkau dapat bersyukur.”

 

49. Di dalam Hadits yang lain diterangkan bahawa Hadhrat Musa ‘Alaihissalam memohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala: “Ya Allah! Bagaimanakah cara bersyukur yang sesuai dengan keadaanMu yang terunggul?” Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman: “Hendaklah lidahmu senantiasa dibasahi dengan berzikir.”

 

50. Yang paling mulia di antara orang-orang yang bertaqwa pada sisi Allah ialah yang senantiasa sibuk dengan berzikir kerana natijah Taqwa ialah Syurga sedangkan natijah zikir ialah penyertaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

 

51. Pada hati manusia ada semacam kekerasan yang tiada berubah menjadi lembut

melainkan dengan berzikir.

 

52. Zikir adalah sumber persahabatan dengan Allah sebaliknya lalai adalah sumber permusuhan denganNya.

 

53. Tiadalah satu apapun yang menambahkan nikmat-nikmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan menyelamatkan daripada azabNya lebih daripada Zikrullah

.

54. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menurunkan RahmatNya kepada orang-orang yang berzikir dan Para Malaikat berdoa untuk mereka.

 

55. Barangsiapa yang ingin menikmati Syurga sedangkan dia masih berada di dalam Dunia ini maka hendaklah dia menyertai majlis-majlis zikir kerana majlis-majlis zikir itu adalah seumpama taman-taman Syurga.

 

56. Barangsiapa senantiasa berzikir, dia akan memasuki syurga sambil tersenyum senyum.

 

57. Amalan yang paling afdhal ialah amalan yang disertai dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Puasa yang afdhal sekali ialah puasa yang disertai dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Haji yang afdhal ialah haji yang disertai dengan zikir sebanyak-banyaknya dan demikianlah Jihad serta amalan-amalan yang lainnya.

 

58. Zikir adalah pengganti kepada ibadat-ibadat Nafilah. Sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadits bahawa segolongan orang-orang miskin datang lalu merayu hal mereka kepada Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan berkata, “Ya Rasulullah, saudara kami yang berharta benda telah meningkat darjat yang setinggi-tingginya disebabkan harta kekayaan mereka. Mereka bersembahyang seperti kami bersembahyang, mereka berpuasa seperti kami berpuasa tetapi kerana harta kekayaan, mereka telah mendahului kami dengan mengerjakan Haji, Umrah, Jihad dan lain-lainya.” Sebagai menjawab Hadhrat Baginda  Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Mahukah kamu sekelian

ku ajarkan sesuatu untuk mencapai yang mendahului dan untuk mendahului sesudah kamu sehingga tiadalah lagi seorang pun yang lebih afdhal daripada kamu kecuali orang yang berbuat seperti yang kamu perbuat.” Selanjutnya Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Bacalah kamu sekelian: Subhanallah Alhamdulillah Allahu Akbar selepas tiap-tiap Solat.” Ini menunjukkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganggap zikir ini sebagai pengganti haji, umrah, jihad dan lain-lain bagi yang tidak berada.

 

59. Majlis Zikir adalah majlis Para Malaikat.

 

60. Allah Subhanahu Wa Ta’ala membanggakan orang-orang yang berzikir di hadapan Para Malaikat.

 

61. Zikir adalah rawatan bagi penyakit-penyakit hati.

 

62. Zikir adalah pendorong bagi ibadat-ibadat yang lain. Dengan berzikir sebanyak-banyaknya maka ibadat-ibadat yang lain itu menjadi mudah dan senang serta kelazatan ibadat-ibadat itu pun dirasai benar, oleh itu semua ibadat itu dapat dikerjakan tanpa keberatan dan kesukaran apa-apa.

 

63. Dengan berzikir semua keberatan akan berubah menjadi ringan, setiap kesukaran akan berubah menjadi senang, setiap bebanan menjadi ringan dan semua bala bencana akan terlenyap.

 

64. Lantaran zikirlah maka segala rupa ketakutan dan kebimbangan akan terhindar.

 

65. Zikrullah adalah mempunyai kuasa yang terkhas untuk melahirkan ketenteraman dan untuk melenyapkan ketakutan. Ianya mempunyai kesan yang teristimewa di mana semakin berzikir sebanyak-banyaknya semakin itulah akan mencapai ketenteraman dan akan lenyap ketakutan.

 

66. Zikir adalah melahirkan kekuatan dan tenaga yang terkhas kepada manusia. Maka dengan kekuatan itu dia dapat menyelenggarakan urusan-urusan yang agak sukar.

 

67. Pemberes urusan-urusan keakhiratan adalah dahulu-mendahului di antara satu dengan yang lain dan di dalam mendahului ini yang kelihatan di hadapan sekali ialah orang-orang yang berzikir. Di dalam sebuah Hadits, Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda, “Telah mendahului mereka yang Munfarrid.” Para Sahabat bertanya, “Siapakah yang Munfarrid itu Ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Mereka yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya kerana zikir adalah meringankan bebanan mereka.”

 

68. Allah Subhanahu Wa Ta’ala sendiri yang membenarkan dan menguji orangorang

yang berzikir. Orang-orang yang dibenarkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala itu tidaklah akan dibangkitkan bersama-sama orang-orang yang dusta. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa apabila seorang hamba mengucapkan: “La Ilaha Illa Allah Wallahu Akbar,” maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, “Benarlah ucapan hambaKu bahawa tiada Tuhan melainkan Aku dan Akulah Maha Besar.”

 

69. Zikir adalah menyebabkan terbinanya rumah di dalam Syurga. Apabila seseorang hamba berhenti daripada berzikir maka Para malaikat berhenti daripada membina rumah itu. Manakala mereka ditanyakan, mengapakah kamu berhenti daripada membina rumah itu? Mereka menjawab bahawa perbelanjaannya belum lagi tiba.

 

70. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa barangsiapa mengucapkan: Subhanallahi Wabihamdihi Subhanallahil ‘Azim” sebanyak tujuh kali nescaya dibinakan satu menara untuknya di dalam Syurga.

 

71. Zikir adalah perisai atau pendinding bagi Neraka Jahannam. Barangsiapa yang dimasukkan ke dalam Neraka kerana amal perbuatannya yang tidak baik maka zikirnya itu menjadi pendinding di antaranya dengan Neraka Jahannam. Semakin banyak zikir dibuat maka semakin kuatlah pendinding itu.

 

72. Jika seseorang yang berzikir di atas sebuah gunung atau di tanah datar maka tempat tersebut akan merasa amat bangga. Di dalam sebuah Hadits ada  iberitakan bahawa gunung-ganang bertanya-tanyakan di antara satu dengan yang lain bahawa hari ini adalah seseorang yang berzikir melalui di atas engkau. Jika diberitahukan bahawa ada yang melaluinya sambil berzikir, maka ia berasa gembira lagi bangga.

 

73. Nur Zikir adalah sentiasa bersama orang yang berzikir itu sama ada di Dunia mahupun di dalam Kubur dan ia memimpin di Titian Sirat. Ia tidak berpisah di mana-mana pun. Diperingatkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Kitab Suci al-Quran pada Surah Al-An’am ayat 122 yang bermaksud, “Apakah orang yang sudah mati kemudian Kami hidupkan dia dan Kami berikan  kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan ditengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannyaberada di dalam gelap gelita yang tidak dapat keluar daripadanya?” Orang pertama itu beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang hatinya bersinar cemerlang dengan cinta makrifat dan zikirnya sementara orang yang kedua itu ialah yang terkosong dari sifat-sifat tersebut. Penghasilan Nur adalah sesuatu yang teragung sekali, ianya membawa kepada kejayaan yang gilang-gemilang.

 

74. Para Malaikat beristighfar memohon keampunan bagi orang yang berzikir. Hadits ada menyebut bahawa apabila seseorang hamba mengucapkan:
 
75. Memperbanyakkan zikir adalah merupakan sijil bagi kelepasan dari memunafikan kerana orang-orang yang Munafik tiada mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala melainkan sedikit. Hadhrat Ka’ab Ahbar Radhiyallahu ‘anhu berkata, “Barangsiapa berzikir sebanyak-banyaknya maka terpelihara dia daripada kemunafikan.” Subhanallahi Wabihamdihi  atau Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, maka Para Malaikat berkata,  “Ya Allah, ampunilah dia.” Adalah termaklum bahawa doa Para Malaikat itu tidak ditolak malahan terus dikabulkanNya.
76. Berbanding dengan amalan-amalan yang baik maka zikir mempunyai suatu kelazatan yang tidak di dapati pada amalan-amalan yang lain. Hadhrat Malik bin Dinar Rahmatullah ‘alaih berkata bahawa seseorang tidak akan berasa lazat dari suatu apa pun seperti kelazatan zikir.
77. Pada wajah orang yang berzikir itu di dapati kegembiraan di Dunia dan akan kelihatan Nur padanya di Hari Qiyamat.
78. Barangsiapa mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebanyak-banyaknya di tengah-tengah jalan, dirumah, di dalam safar perjalanan dan ketika berada di kampung, maka dia akan mempunyai pembela-pembela yang ramai sekali di Hari Hisab kelak.
79. Selama lidah sibuk dengan berzikir maka selama itulah dia terpelihara daripada perbicaraan yang sia-sia, berdusta, mengumpat dan sebagainya. Lidah itu sememangnya tidak mahu diam, ia akan sibuk dengan berzikir, kalau tidak sudah tentu dengan kesia-siaan. Demikian juga halnya dengan hati, jika ia tidak sibuk dengan mencintai Khaliq iaitu Allah Subhanahu Wa Ta’ala maka sudah tentu dia akan sibuk dengan mencintai makhluk.
80. Syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Ia mencampakkan manusia di dalam kancah kerunsingan dan kegelisahan dengan berbagai cara. Ia juga
mengerumuni mereka dari setiap penjuru. Orang yang halnya sedemikian rupa senantiasa berada di tengah-tengah lingkungan para musuh yang mana
tiap-tiap seorang darinya ingin menimpakan ke atasnya penderitaan demi penderitaan. Maka tiadalah apa-apa untuk mematahkan serangan-serangan
musuh itu melainkan Zikrullah.
 

Saturday, 3 November 2012

JENIS-JENIS MURSYID


MURSHID TABARUK

ADAPUN bagi Murshid Tabaruk, dia telah diberikan kebenaran untuk mengajarkan zikir dan mentalqinkan zikir pada lidah murid. Dia mengajar untuk mengingati dan menyeru Allah dan bagaimana untuk menuruti perintah-perintah Allah. Dia memberikan langkah pertama atas jalan Tariqat. Dia mengajarkan sebutan Kalimah Allah kepada murid dan membina jambatan perhubungan antara hati murid dengan Allah Subhanhu Wa Ta’ala.Dengan mengamalkan zikir yang diberikan, murid akan diperlihatkan tandatandakebesaran Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Jika murid masih belum dapat menyaksikanNya, dia belum mencapai ke tingkatan yang ingin ditunjuki oleh Murshid. Murshid perlu mengajarkan ayat-ayat Al-Quran, sebutan Nama-Nama Allah dan lafaz-lafaz Selawat. Dia akan memberikan ayat-ayat atau Nama-Nama Allah dan lafaz-lafaz Selawat yang tertentu kepada murid dengan jumlah bilangan yang tertentu untuk diamalkan menurut kemampuan dan keperluan seseorang murid.

Murshid Tabaruk mestilah memiliki ilmu dan daya untuk memuji dengan segala jenis pujian dan sanjungan serta pensucian kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala baik secara lisan mahupun secara diam. Dia mengenali Tasbih sekelian kejadian ciptaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan apakah Tasbih yang diperlukan oleh tubuh badan dan ruhani muridnya. Dia juga mengetahui Tasbih yang dilakukan secara sedar mahupun yang tidak sedar oleh sekelian makhluk ciptaan Allah hatta kepada orang

Islam dan yang bukan Islam.

 

Dia menerima limpahan ilmu Kenabian dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala berkenaan apa yang sedang berlaku pada makhluk Allah di Alam Dunia dan di Alam Barzakh. Dia mengenali tentang hakikat Jin dan yang berkaitan dengannya, tentang tipu dayanya, ancaman Allah ke atas mereka dan bagaimana untuk menghindari gangguannya. Dia juga mengetahui bagaimana untuk setiap Manusia dan Jin agar dapat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan apakah amalan yang akanmembukakan pintu untuk mereka mencapai dan memperolehi keberkatan dari

Hadhrat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Murshid hendaklah mewarisi pengetahuan yang Allah Subhanahu Wa Ta’alatelah limpahkan kepada Nabi Adam ‘Alaihissalam tentang nama-nama makhluk ciptaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan memperdalami ilmu pengetahuan. Diahendaklah mengenali nama-nama Para Malaikat yang berdamping dengan manusia dan waktu pertukaran para malaikat tersebut iaitu selepas Subuh sehingga terbitmatahari dan selepas Asar sehingga sebelum Maghrib serta waktu turunnya para malaikat ke langit dunia iaitu ketika sebelum terbitnya Fajar. Ini merupakan waktuwaktu yang terbaik untuk melakukan awrad zikir. Waktu di antara Maghrib dan Isya, sesudah Isya sehingga sebelum Subuh, waktu Dhuha dan waktu di antara Zohor dan Asar adalah antara masa yang baik untuk melakukan awrad zikir.

 

Murid hendaklah sentiasa memerhatikan waktu-waktu tersebut untuk melakukan zikir kerana dapat berserta dengan Para Malaikat Muqarrabin mengingati Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dengan memelihara awrad zikir, ianya dapat membina perhubungan di antara diri murid dan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menerusi Syeikh Murshid. Hubungan murid dengan Murshidnya hendaklah kuat dan kukuh kerana menerusi Murshidnyalah murid itu diperkenalkan tentang Hakikat Nabi dan Hakikat Kenabian.

Dengan berzikir menyebut nama Allah dan berselawat seperti yang diberikan oleh Murshid akan dapat membina jambatan antara diri murid, Syeikh, Para Masyaikh, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan seterusnya ke Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Pada tahap pertama, murid murid melakukan sebutan zikir Allah Allah sebanyak 5000 kali menurut kaifiyat zikir dengan lidah hati pada latifah Qalb sehari semalam dan Selawat serta Istighfar sebanyak 500 kali. Zikir ini dilakukan tanpa menggerakkan lidah dengan menongkatkannya ke langit-langit. Pada tahap seterusnya apabila murid menunjukkan kesungguhan, zikir Allah Allah hendaklah dipertingkatkan sehingga 24 000 kali dan Selawat sebanyak 1000 kali sehari semalam.

 

Hadhrat Syeikh ‘Abdullah Daghistani Rahmatullah ‘alaih pernah mengatakan bahawa,“Kamu harus sentiasa memerhatikan tiga perkara ini di dalam kepala yakni tiga peraturan pada setiap masa untuk maju di dalam Tariqat iaitu:

 

1.    Jika aku memberi kamu penyodok pecah dan menyuruh kamu menggali sehingga ke perut bumi untuk mencari permata, hendaklah kau menggalinya tanpa bertanya kenapa dan memberi sebarang alasan. Teruskan saja menggali.

2.    Jika aku memberi kamu baldi dan berkata kosongkan lautan itu, jangan  tanya sama ada ianya akan habis atau mempertikaikan yang ianya mustahil untuk mengosongkan lautan hanya dengan baldi. Hendaklah kau lakukan saja kerana jika datang dalam fikiranmu yang pekerjaan itu mustahil atau tidak berfaedah maka kau gagal dalam ujian dan perlu memulainya semula.

3.    Jika aku memberitahu pada semut yang rezekinya ada di Timur dan ada diBarat, dia akan terus saja berjalan. Murid perlu bersikap seperti semut, jangan kau gunakan akalmu untuk memahami bagaimana kau akan memperolehi rezekimu. Teruskan berjalan, jika kau mati dalam berusaha, kau mati dalam penyerahan.”

 

 

MURSHID TAZKIYAH

MURSHID Tazkiyah membimbing murinya dalam penyucian hawa nafsu dan tabiat yang tidak baik yang disebut sebagai Tazkiyatun Nafs. Bagaimanakah untuk seseorang itu membersihkan dirinya dari godaan hawa nafsu jika dia tidak mengenali hakikat nafsu dan tingkatan-tingkatannya? Sepertimana yang diketahui terdapat tujuh

tingkatan nafsu iaitu:

1.    Nafsu Ammarah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap kehaiwanan iaitu pada kedudukan yang rendah, tidak mengenali hakikat diri dan tidak mengenal hakikat Tuhan, boleh menjadi lebih buas dari binatang dan sentiasa mengingkari perintah-perintah Allah Subhanahu WaTa’ala. Tahap nafsu ini berada pada tingkatan yang rendah dan perlu disucikan dengan Taubat dan Istighfar untuk menuju pada tingkatan yang lebih tinggi supaya dimuliakan oleh para Malaikat. Apabila nafsu Ammarah ini dapatdikuasai sepenuhnya, peribadi manusia itu akan menjadi lebih baik dari para Malaikat setelah dia menjalani latihan penyucian diri di bawah asuhan seorang Murshid yang sempurna. Nafsu Ammarah sentiasa mengajak diri mengingkari Allah dan Rasul, menurut ajakan Syaitan, bergelumang dengan dosa-dosa besar dan maksiat, bertabiat dan bertingkah laku buruk, bernafsu seperti haiwan yang buas. Sentiasa memuaskan kehendak hawa nafsu dan bersikap mementingkan diri sendiri.

 

2.    Nafsu Lawammah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap mula menyedari keingkaran dan sifat buruk yang ada pada dirinya dan berasa menyesal apabila melakukan perbuatan yang buruk dan tidak baik. Dia mula untuk berasa bersalah kerana menurut keakuan dirinya semata-mata dan lebih mementingkan diri sendiri. Dia akan melakukan Taubat dan Istighfar tetapi akan kembali kepada perlakuan dosa dan maksiat kepada Allah dan Rasul. Kesedarannya baru terbit tetapi tidak kukuh. Dia perlu menjalani latihan untuk menerbitkan rasa kesedaran dan insaf pada setiap masa serta menyerahkan dirinya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana jika tidak, dia akan kembali terjerumus kedalam kancah keburukan. 

3.    Nafsu Mulhammah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap yang lebih kerap menyesali dirinya kerana mengingkarihukum dan perintah Allah dan Rasul, kesedaran untuk insaf semakin bertambah tetapi masih belum mampu meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat. Dia belum menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah kerana keakuan dirinya belum Fana atau dimatikan. Walaubagaimanapun keinginan untuk kembali sepenuhnya kepada Allah terasa amat dekat. Dengan latihan keruhanian dan asuhan Murshid dia akan berjaya mematikan keakuannya. Kerana itu amat enting bagi Murid untuk mendapat bimbingan Murshid  kerana seseorang itu tidak akan mampu mencapai penyucian Nafsu Mulhammah ini dengan bersendirian melainkan melalui seorang Murshid secara zahir dan batin. Dia perlu berzikir dengan kalimah Ismu Zat iaitu Allah Allah sebanyak-banyaknya di dalam hati sehingga terbit ketenangan.

4.    Nafsu Mutmainnah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berjaya mencapai Fana. Dia berjaya mematikan keakuan dirinya dan menyerahkan dirinya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Apabila keakuan dimatikan maka akan lahirlah Bayi Maknawi dari diri insan. Insan bersifat pelupa dan apabila keakuan insan itu dimatikan maka akan lahirlah daripada dirinya, dirinya yang sebenar yang diertikan oleh Hadhrat Syeikh Abdul Qadir Jailani sebagai Tiflul Ma’ani yakni Bayi Maknawi. Pada tahap ini keimanan seseorang itu menjadi semakin teguh dan kukuh. Dia perlu mendawamkan zikir kalimah Ismu Zat pada setiap Latifah sehingga sempurna Sepuluh Lataif dan kekal dalam Syuhud. Ruhnya berjaya mencapai ketenangan pada Nafsu Mutmainnah dengan berkat limpahan dan asuhan Murshid.

5.    Nafsu Radhiyah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu telah diserahkan sepenuhnya kepada Allah dan dia redha dengan apa jua yang datang dari Allah. Tidak mementingkan apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku. Dia menumpukan kesedarannya pada Kehadiran Zat Yang Suci pada setiap masa. Dia hanya menjadikan Allah sebagai maksud dan sentiasa menuntut keredhaan Allah. Dia sentiasa merasakan dirinya lemah di hadapan Allah dan sentiasa bergantung penuh kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dia mengetepikan segala kepentingan Dunia dan Akhirat demi Allah Ta’al a semata-mata

6.    Nafsu Mardhiyah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu telah tenggelam dalam lautan Syuhud. Dia menyaksikan Kebesaran Allah dengan cahaya  Musyahadah dan mencapai ‘Irfan. Dia berenang di lautan Makrifat mengenali hakikat diri dan hakikat Tuhannya. Ruhnya telah aman damai di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan jiwanya menjadi lembut terhadap sesama makhluk dan zahirlah akhlak yang baik serta mulia dari dirinya.

 

7.    Nafsu Kamiliyah - Pada tingkatan ini keakuan diri seseorang itu telah mencapai penyucian yang sempurna dan berjaya menjadi insan yang sempurna dengan menuruti segala Sunnah Baginda Nabi Muhammad Rasulullah sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang mana merupakan insan yang paling sempurna. Zahir mereka bersama manusia di dalam khalayak ramai dan menghadiri majlis mereka namun batin mereka sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga memerhatikan limpahan Faidhz dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Zikir mereka pada tingkatan ini adalah sentiasa bermuraqabah. Penyerahan mereka sempurna dan Allah menzahirkan Tanda-Tanda KekuasaanNya menerusi hamba tersebut. Dia menyerah kepada segala ketentuan Taqdir dan melaksanakan kewajibannya sebagai hamba dengan sebaik-baiknya. Ini merupakan tingkatan para Nabi dan Rasul ‘Alaihimussolatu Wassalam dan inilah merupakan tingkatan Para Sahabat Ridhwanullah ‘Alaihim Ajma’in dan inilah merupakan tingkatan sekelian Wali Qutub.

 
Apakah bentuk peperangan yang paling berkesan untuk memerangi hawa nafsu sehingga seseorang Murid itu dapat mengawal dan menguasai hawa nafsunya? Murshid Tazkiyah akan membimbingnya dalam penaklukan tersebut. Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menyifatkan peperangan melawan hawa nafsu tersebut sebagai suatu jihad yang besar sepertimana yang termaktub di dalam Hadits bahawa sekembalinya Baginda dan Sahabat-Sahabatnya dari suatu peperangan yang besar, Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallhu ‘Alaihi Wasallam bersabda bahawa, “Kita kembali dari jihad yang kecil dan menuju kepada jihad yang besar.” Para Sahabat bertanya, “Apakah ada peperangan yang lebih besar dari ini wahai Rasul? Dengan memerangi orang kafir pada Jalan Allah dan mengharapkan syahid?” Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menjawab, “Mujahadatun Nafs,” yakni peperangan melawan hawa nafsu. Ianya disifatkan sebagai suatu perang yang besar kerana dalam perang yang zahir musuh dapat di kenali dan dilihat manakala dalam perang batin, hawa nafsu itu tidak dapat dilihat dan ia tidak akan memberitahu bahawa ia adalah musuh di dalam diri. Kehendak nafsu adalah datang dan pergi melalui mulut dan keluar menerusi kemaluan. 

Hadhrat Baginda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang mafhumnya,“Barangsiapa yang dapat menjamin memelihara apa yang di antara kedua bibirnya dan apa yang ada di antara kedua kakinya, maka aku akan menjaminkan untuknya Syurga.” Jihad Nafs adalah bagi menguasai segala kehendak nafsu yang ada di mulut dan kemaluan dan yang di antara keduanya seperti kehendak berkata perkataan yang sia-sia, keinginan menghidu, mendengar dan melihat serta apa yang dapat menyedapkan tekak dan perut serta kemahuan Syahwat. Hawa Nafsu tidak akan membiarkan kita memeranginya dan ia akan terus memerangi kita. Lidah akan terus menginginkan makanan yang sedap dan lazat. Syeikh hendaklah menyuruh muridnya mengusahakan makanan yang halal dan bersederhana dalam makan minum dan berpakaian. Lidah juga perlu diawasi dari berkata-kata yang tidak baik seperti mencaci maki, mencarut, menipu, menaburkan fitnah dan mengumpat. Kesemuanya itu merupakan helah dan tipu daya dari Syaitan. Tugas Murshid Tazkiyah adalah bagi menumpaskan musuh di dalam diri iaitu Nafs, Hawa, Syaitan dan Dunia dengan menunjukkan jalan dan kaedah peperangan iaitu dengan menuruti jejak langkah Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Keempat-empat musuh tersebut ada pada setiap manusia tidak terkecuali walaupun Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Murshid hendaklah sentiasa berjaga-jaga dari serangan keempat-empat musuh tersebut dan mengajarkan muridnya untuk memerangi musuh-musuh tersebut dengan menuruti amalan Sunnah Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menerusi lafaz zikir dan doa-doa Masnun serta amalan perlakuan Sunnah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan ikhlas dan istiqamah. Murshid perlu mengetahui tentang hukum Fiqah dan mengetahui tentang sejarah kehidupan Para Imam Mujtahidin seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’i dan Imam Ahmad Hambali dan pendapat-pendapat mereka dalam pengamalan Syari’at. Murshid perlu berpegang kepada salah satu mazhab Syari’at dan mampu menurutinya dengan baik serta dapat menunjukkan pengamalan Syari’at yang betul kepada para muridnya. 

Murshid Tazkiyah akan mengajarkan zikir LA ILAHA ILLA ALLAH iaitu zikir Nafi Itsbat kepada muridnya bagi mengenepikan Nafs yang buruk dan memasukkan cahaya sifat-sifat Allah ke dalam diri murid. Dia membina Tauhid yang sempurna dalam diri para muridnya sehingga mereka dapat mengingati Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan seterusnya dapat melihat tanda-tanda kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta’ala walau di mana jua mereka berada. Adapun tanda kebesaran Allah yang paling agung adalah Hadhrat Sayyidina Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Dengan penyaksian ini akan membawa murid itu kepada hakikat sebenar pengucapan dua kalimah syahadah iaitu: Asyhadu An La Ilaha Illa Allahu Wa Asyhadu Anna Muhammadan ‘Abduhu Wa Rasuluhu.

Terjemahan: Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah hambaNya dan RasulNya.

 Bagi seseorang Murshid Tazkiyah hendaklah sentiasa memelihara amalan Sunnah dan Syari’at Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan sebaik-baiknya yakni sentiasa beramal dengan ‘Azimah. Murshid hendaklah memiliki hubungan yang baik dengan Arwah Para Masyaikh samada yang hidup mahupun yang mati. Padanya diberikan pengetahuan tentang Aulia Allah pada setiap zaman menerusi nama dan Ruhaniah mereka serta dapat mengambil limpahan Faidhz mereka dan memperolehi pancuran ilmu pengetahuan dari sumber yang sama dengan Para Aulia Allah. Murshid Tazkiyah mengenali Para Wali Allah dan mengetahui dari Nabi manakah mereka mewarisi rahsia ilmu pengetahuan kerana setiap wali itu adalah menuruti jejak langkah salah seorang dari 124,000 Para Nabi.Menurut mafhum Hadis Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam,

“Para ‘Ulama adalah pewaris Para Anbiya”. Murshid yang benar akan dapat hadir dalam mimpi muridnya dengan kehendak Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk memberikan sesuatu petunjuk kepada murid. Murshid membimbing muridnya untuk melakukan zikir dalam nafas yakni setiap nafas yang keluar dan masuk hendaklah dalam kesedaran bahawa Allah yang menguasai pernafasan kita dan Dia boleh menghentikan pernafasan kita pada bila-bila masa yang Dia kehendaki. Murid perlu menyedari hakikat ini agar pada setiap saat menerusi keberkatan Syeikh Murshidnya yang diperolehi dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, murid itu dapat mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam setiap nafasnya iaitu pada masa udara disedut masuk dan pada masa ianya dihembus keluar. Hadhrat Shah Naqshband Rahmatullah ‘alaih menegaskan bahawa hendaklah mengingati Allah pada setiap kali keluar masuk nafas dan di antara keduanya yakni masa di antara udara disedut masuk dan dihembus keluar dan masa di antara udara dihembus keluar dan disedut masuk. Kebanyakan dari kita menganggap pernafasan adalah suatu perkara yang berlaku dengan sendiri dan di luar kawalan kita tanpa sedar.

Kita berdiri, berbaring, berjalan, duduk, bercakap, makan dan minum sambil bernafas dan kita tidak menyedarinya. Kita tidak mengingati pergerakan keluar masuk nafas melainkan jika kita sedang menyelam di dalam lautan maka barulah kita akan ingat kepada nafas dan timbul di permukaan air untuk mengambil udara. Murshid Tazkiyah akan menjadikan Muridnya sentiasa sedar bahawa diasedang tenggelam di dalam lautan dan tenaga yang diperolehinya keluar dan masuk itu adalah menerusi Qudrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kemudian dia akan ingat sebutan Allah Allah di dalam setiap nafas ketika keluar dan masuknya udara lalu dia  akan terus mengingati Allah menerusi Sifat-SifatNya atau menerusi Nama-NamaNya menurut hari, masa dan keadaan yang tertentu. Setiap kali kita menyedut udara masuk ada sepuluh Malaikat yang mengiringi nafas tersebut dan setiap kali kita menghembuskan udara keluar ada sepuluh Malaikat yang mengiringi nafas tersebut. Menurut Para Masyaikh, setiap Malaikat diciptakan oleh Allah dari cahaya yang berbeza dari Cahaya Allah. Sembilan persepuluh adalah dari cahaya Nur Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan sepersepuluh lagi adalah dari cahaya penciptaan yakni dari Bahrul Qudrah yakni Lautan Kekuasaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Para Auliya menyatakan bahawa manusia dikurniakan dua puluh empat ribu nafas dalam dua puluh empat jam. Setiap nafas yang keluar masuk perlulah disertakan dengan Zikirullah dan ianya hanya dapat diperolehi menerusi talqin Murshid Tazkiyah. Kerana itu Para Masyaikh menyuruh Para Murid untuk berzikir Allah Allah sebanyak dua puluh empat ribu kali sehari semalam. Jumlah tersebut akan meningkat kepada tujuh puluh ribu kali sehari semalam dan seterusnya sehingga mencapai tujuh ratus ribu dalam sehari semalam. Jumlah itu akan terus meningkat kepada Para Auliya Allah sehingga mencapai tujuh juta bahkan sehingga mencapai tujuh puluh juta kali dalam sehari semalam. Nafas yang disucikan akan bergerak seperti cahaya. Setiap nafas kita tanpa disedari adalah keluar dan masuk dengan tasbih Zikirullah seperti Huwa, Hu, Ya Hu, Ha, Hi, His, Him, Ah, Aa, Ii, Uu dan Hayy yang mana kesemua tasbih zikir tersebut adalah merujuk kepada Zat Dia Yang Ghaib dan Maha Hidup, yang mana zikir tersebut berada dalam Rahsia Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

 

MURSHID TASFIYAH

MURSHID Tasfiyah adalah pada tingkatan ketiga mengatasi kedudukan Murshid Tabaruk dan Tazkiyah kerana dia telah mencapai kedudukan-kedudukan tersebut. Mereka tiada keinginan terhadap duniawi dan amat zuhud terhadap Dunia. Mereka makan dan minum hanya sedikit dan kehidupan mereka senantiasa dalam ibadah dan memberi petunjuk kepada manusia. Mereka juga zuhud terhadap kehidupan Akhirat yang mana Syurga bukanlah menjadi matlamat mereka yang hakiki. Kepada orang awam, Jannatul Khuld Syurga yang kekal sentiasa menjadi matlamat mereka namun bagi Para Auliya Allah, Syurga bukanlah menjadi keutamaan matlamat mereka bahkan matlamat mereka adalah maksud yang satu iaitu Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Segala sesuatu selain Allah tiada erti bagi mereka. Mereka tiada lagi cinta dan cenderung dengan makhluk. Cinta mereka hanyalah terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Bagi mereka Dunia dan Akhirat adalah sama sahaja tanpa meletakkan sebarang harapan untuk kedua-dua kehidupan tersebut. Maksud dan harapan mereka hanyalah Allah. Mereka sentiasa ingat akan pengertian dan maksud kata-kata “Ilahi Anta Maqsudi Wa Ridhaka Matlubi.” Mereka mampu menarik perhatian pengikutnya bukan dengan kata-kata bahkan menerusi Jazbah dan tenungan Batin.

 

MURSHID TARBIYAH

MURSHID Tarbiyah menduduki kedudukan yang tertinggi di kalangan ‘Alim ‘Ulama dalam memberikan bimbingan kepada Ummah. Mereka menduduki maqam Pewaris Nabi. Kesemua ilmu pengetahuan yang ada pada Para Wali adalah sekadar setitis dari lautan ilmu Hadhrat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang mana telah dibukakan kepada sekelian Para Wali. Bayangkanlah betapa luasnya ilmu yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah kurniakan kepada Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Murshid Tarbiyah adalah mereka yang telah menjalani kehidupan Ruhaniah dalam tempoh yang cukup lama dan telah berjaya mencapai hakikat kehidupan dan mensahihkan kebenaran dari Allah dan Rasul dan membenarkan segala pengetahuan tentang Ilmu Yaqin, ‘Ainul Yaqin dan Haqqul Yaqin. Mereka telah melepasi kedudukan Murshid Tabaruk, Murshid Tazkiyah dan Murshid Tasfiyah. Ketiga-tiga tahap Murshid tersebut boleh ditemui dikalangan Tariqat-Tariqat yang lain namun Murshid Tarbiyah hanya terdapat di dalam Silsilah Naqshbandiyah. Murshid Tarbiyah adalah pembimbing Ruhani yang mendidik Para Muridnya.Dia adalah seorang yang lengkap Syari’at, Tariqat, Ma’rifat dan Hakikat serta mencapai tahap Mujtahid Mutlaq dalam Ilmu Syari’at dan Hakikat dan dikurniakan kekuasaan untuk memutuskan sesuatu keputusan yang penting berkaitan hukum ahkam bagi Ummat Islam atau disebut sebagai Tawkil Asy-Syamilah.