Thursday, 1 November 2012

NUBUWAT & RISALAT


NUBUWWAT bererti Kenabian dan Risalat bererti Kerasulan. Kenabian bermaksud seseorang yang dikurniakan dengan kedudukan sebagai seorang Nabi Allah manakala Kerasulan pula bermaksud seseorang yang telah dikurniakan dengan kedudukan sebagai Rasul Allah. Nabi dan Rasul adalah orang-orang pilihan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Mereka telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala

untuk menjadi Nabi dan Rasul. Perkataan Nabi pada pengertian bahasa bermakna seorang pemberi khabar.Pada pengertian istilah, Nabi bererti seorang yang memberi khabar gembira untuk orang-orang yang beriman dan memberi khabar ancaman untuk orang-orang yang tidak mahu beriman. Khabar yang dimaksudkan ialah perkhabaran tentang Hari Qiyamat dan perkhabaran tentang kehidupan di Hari Akhirat dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Perkataan Rasul pada pengertian bahasa bermakna seorang utusan yang menyampaikan surat dan menurut pengertian istilah, Rasul bermakna seorang utusan atau pesuruh yang menyampaikan Risalah Syari’at Islam iaitu Al-Quran dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada ummat manusia. Setiap Nabi bukanlah Rasul namun setiap Rasul adalah Nabi. Nisbat yang ada di antara kedudukan Nabi dan Rasul ini ialah Nabi bersifat umum manakala Rasul pula bersifat khusus.

 

Menurut Para ‘Ulama terdapat lebih 124,000 Para Nabi dan di antara mereka Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah mengangkat sebanyak 313 orang menjadi Rasul. Ada sebahagian ‘Ulama mengatakan terdapat 315 orang Rasul kesemuanya. Hanya sebahagian dari mereka sahaja yang ada disebutkan di dalam Al-Quranul Karim manakala yang lain tidak dinyatakan.

 

Terdapat 33 Nabi yang masyhur iaitu Hadharat Adam, Idris, Syiths, Nuh, Hud, Salih, Luth, Ibrahim, Isma’il, Ishaq, Ya’aqub, Yusuf, Ayyub, Shu’aib, Musa, Harun, Yusha’, Khidhzr, Ilyas, Ilyasa’ Dzulkifli, Sham’un, Ishmoil, Yunus, Daud, Sulaiman, Luqman, Dzulqarnain, Zakariyya, Yahya, ‘Uzair, ‘Isa dan Muhammad ‘Alaihimus Solatu Wassalam. Nama Para Nabi yang ada dinyatakan di dalam Al-Quran hanya terdapat 28 orang, yakni yang tidak disebut adalah Hadharat Nabi Syiths, Khidhzr, Yusha’, Sham’un dan Ishmoil ‘Alaihimus Solatu Wassalam. Dari kalangan 28 yang dinyatakan di dalam Al-Quran itu, Para ‘Ulama ada yang berselisih pendapat sama ada Hadharat Dzulqarnain, Luqman dan ‘Uzair ‘Alaihimus Solatu Wassalam diangkat sebagai Nabi ataupun tidak. Walaubagaimanapun 25 orang yang ada disebutkan di dalam Al-Quran adalah Nabi dan Rasul Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Terdapat 6 orang Nabi yang diberikan gelaran sebagai Ulul ‘Azmi kerana mereka telah diuji dengan ujian yang besar dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan mereka itu adalah Hadharat Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi ‘Isa dan Nabi Muhammad Rasulullah ‘Alaihimus Solatu Wassalam.

 

Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menurunkan 4 kitab-kitabNya kepada 4 orang Nabi dan Rasul iaitu Kitab Taurat kepada Hadhrat Nabi Musa ‘Alaihissalam, Kitab Zabur kepada Hadhrat Nabi Daud ‘Alaihissalam, Kitab Injil kepada Hadhrat Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam dan Kitab Al-Quran kepada Hadhrat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Mereka kesemuanya adalah Rasul yang membawa Syari’at kepada ummat mereka masing-masing. Allah Subhanahu Wa Ta’ala juga telah menurunkan 100 Suhuf, 60 Suhuf kepada Nabi Ibrahim, 30 Suhuf kepada Nabi Syiths dan 10 Suhuf kepada Nabi Musa ‘Alaihimussalam.

No comments:

Post a Comment