Saturday, 3 November 2012

MURID DALAM BERGURU


APA yang penting bagi seseorang murid adalah menjaga dan memelihara adab terhadap Syeikhnya baik ketika berada bersama-sama Syeikh mahupun ketika berjauhan, secara Zahir mahupun secara Batin. Antara adab-adab yang utama ialah menyerahkan segala urusan Keruhanian dirinya secara mutlak kepada kebijaksanaan Syeikhnya. Para Masyaikh mengatakan bahawa sesiapa yang berkata kepada gurunya “Tidak” maka dia selamanya tidak akan berjaya di dalam perjalanannya menuju Tuhan.

Menurut Hadhrat Shah Abdullah Ghulam Ali Rahmatullah ‘alaih, seseorang Murid adalah dia yang mempunyai keinginan yang membakar di dalam dadanya untuk mencintai Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan perasaan kecintaan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Dia menghabiskan masa malamnya dengan bersolat Tahajjud, berjaga sambil mengalirkan air mata mengenangkan kegagalan dan kelemahan yang telah dilaluinya dengan perasaan malu. Dia sentiasa berasa takut kepada Tuhannya terhadap perkara-perkara yang akan dilakukannya. Murid hendaklah berusaha menjauhkan dirinya dari segala tipu daya Duniawi, berasa menyesal dan malu atas dosa-dosa yang telah dilakukannya dan mula membahagi-bahagikan masanya untuk melakukan amalan-amalan kebaikan.  

Hendaklah sentiasa bersabar dalam setiap hal dan keadaan, sentiasa memaafkan kesalahan orang lain dan redha dengan Taqdir ketentuan Allah Subhanahu Wa Ta’ala  Setiap waktu hendaklah mengiktiraf akan kelemahan diri sendiri dan bersangka baik terhadap sekelian makhluk dan menganggap mereka tidak melakukan sebarang kesalahan. Dalam setiap nafas hendaklah sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan menganggap bahawa ini merupakan nafasku yang terakhir. Jauhkan diri dari kelalaian, berbual kosong, berbalah-balahan, bergaduh dan bertengkar. Jangan menyakiti hati orang lain kerana hati merupakan rumah bagi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Hendaklah menceritakan tentang kebaikan dan kebajikan Para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum menurut apa yang dinyatakan di dalam Hadits-hadits. Hendaklah diam terhadap ikhtilaf yang timbul di kalangan Para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum kerana itu adalah lebih baik.

Menurut Hadhrat Imam Al-Ghazali Rahmatullah ‘alaih, “Dan hendaklah Murid itu berpegang sepenuhnya kepada Syeikhnya sebagaimana seorang buta berpegang kepada pemandunya semasa dia berjalan di tepi sungai, iaitu dia menyerahkan kesemua sekali urusannya kepada Syeikhnya.” Selanjutnya beliau menyatakan tentang kewajipan Murid memberi penghormatan kepada Syeikh secara Zahir dan Batin. Penghormatan Zahir dapat dilakukan dengan cara: 

1. Janganlah Murid mendebat dan membantahinya, juga jangan menolak hujjah

    yang dibawanya sekalipun ternyata kepada kamu kesilapannya.

2. Janganlah menonjolkan diri di hadapannya dengan mengembangkan hamparan

    sejadah kecuali jika kamu menjadi Imam Solat. Sebaik-baiknya apabila selesai

    Solat tinggalkan sejadah dengan segera sebagai menjaga tata tertib terhadapnya.

3. Janganlah banyak bersolat sunat nafilah di hadapan Syeikh.

4. Hendaklah kamu melakukan suruhannya mengikut kemampuan kamu.

5. Janganlah kamu bersujud kepadanya atau kepada selain daripada Allah

    Subhanahu Wa Ta’ala kerana perbuatan murid yang sedemikian adalah kufur.

6. Hendaklah kamu mengikuti dengan bersungguh-sungguh perintahnya,

    sekalipun pada zahirnya kelihatan seolah menderhakai Allah Subhanahu Wa

    Ta’ala

 

Penghormatan Batin pula dapatlah dilakukan oleh Murid dengan cara berikut:

1. Bahawa setiap perkara yang disampaikan oleh Syeikh kepada kamu secara

    Zahir itu janganlah kamu membantahinya secara Batin. Kalau tidak, berertilah

    kamu bersifat munafiq.

2. Kalau kamu tidak mampu melaksanakan perkara seperti di atas, maka

    hendaklah kamu buat sementara waktu mengundurkan diri daripada

    mendampinginya sehinggalah kamu dapat menyesuaikan Batin dengan Zahir

    kamu sendiri. Ini adalah kerana tidak ada gunanya persahabatan di samping

    keingkaran terhadap orang yang sama pada masa yang sama pula.

 Hadhrat Syeikh Shahabuddin As-Suhrawardi Rahmatullah ‘alaihi pula telah    mengatakan, “Keadaan atau suasana seseorang Murid di hadapan seseorang    Syeikh adalah bagaikan seorang yang duduk di tepi pantai menanti rezeki bergerak datang kepada dirinya.”   Bagi Murid, apabila berada di dalam majlis Syeikh, perkara yang paling utama dibeikan perhatian adalah Adab kerana ianya akan menimbulkan kecintaan pada hati. Apabila Murid beradab dengan adab-adab yang sempurna, ianya akan menimbulkan rasa cinta dan kasih sayang di dalam hati Syeikh terhadap Murid tersebut. Apabila Syeikh mengasihinya, maka dia juga akan mendapat kasih Allah. Perhatian dari Syeikh terhadap diri Murid juga akan merapatkan perhatian Allah terhadap Murid kerana Allah sentiasa melihat hati-hati para RakanNya (Para Sufi) dengan penuh Rahmat, kekurniaan dan pemeliharaan.  

Apabila Murid sentiasa mendapat perhatian Syeikh, dia akan sentiasa mendapat limpahan dari Allah yang tiada penghujungnya, dia akan mengenali hakikat kewujudan dirinya. Itu merupakan tanda penerimaan Syeikh terhadap Murid dan juga merupakan tanda penerimaan Allah Ta’ala, penerimaan Hadhrat Nabi Muhammad Salallahu ‘Alaihi Wasallam dan penerimaan sekelian Hadhrat Para Masyaikh Qaddasallahu Asrarahum. Dengan ini Murid akan memperolehi limpahan Faidhz dari Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerusi Hadhrat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan sekelian Para Masyaikh di dalam Silsilah menerusi Syeikhnya.

Jika Murid mengenepikan Adab, dia tidak akan mendapat manafaat yang besar dari Syeikhnya. Memuliakan Para ‘Alim ‘Ulama dan Para Masyaikh adalah suatu kewajipan yang besar bagi Ummat kerana Para ‘Ulama adalah pewaris Para Nabi. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Fathir ayat 32:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

"Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada orang-orang yang berlumba dalam melakukan kebaikan dengan izin Allah, yang demikian itu adalah karunia yang amat besar."

Yang dimaksud dengan orang yang menganiaya dirinya sendiri ialah orang yang lebih banyak kesalahannya daripada kebaikannya, dan pertengahan ialah orang orang yang kebaikannya sebanding dengan kesalahannya, sedang yang dimaksudkan dengan orang-orang yang lebih dahulu dalam berbuat kebaikan ialah orang-orang yang kebaikannya amat banyak dan amat jarang berbuat kesalahan. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman di dalam Al-Quran Surah Fathir pada ayat 28,  

 وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

"Dan demikian pula di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatangbinatang  ternak ada yang bermacam-macam warnanya dan jenisnya. Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya, hanyalah Para ‘Ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."

Di antara hamba Allah, yang takut kepadaNya hanyalah Para ‘Ulama. Yang dimaksud dengan 'Ulama dalam ayat ini ialah orang-orang yang mengetahui kebesaran dan kekuasaan Allah dan kemuliaan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang mafhumnya, “ ‘Ulama adalah pewaris Para Anbiya kerana mereka memiliki ‘Ilmu. Seluruh penghuni langit mencintainya dan penghuni lautan memohon keampunan bagi mereka sehingga Hari Qiyamat.”

No comments:

Post a Comment