Saturday, 3 November 2012

M U R S Y I D



MURSHID pada pengertian bahasa bererti seseorang yang menunjukkan jalan.Menurut istilah Tasawwuf dan Tariqat, Murshid adalah pembimbing jalan Keruhanian. Murshid juga di sebut sebagai Syeikh di Tanah ‘Arab dan di rantau Nusantara. Namun di negara Asia Tengah seperti di Khurasan, Bukhara, Turki dan Tanah Hindi, Murshid juga disebut sebagai Pir. Ada juga yang menyebutnya sebagai Khalifah dan ada juga yang menyebutnya sebagai Khwajah yang bermaksud Tuan Guru. Bagaimanakah yang dikatakan seorang Murshid itu? Menurut Hadhrat Shah ‘Abdullah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih, Murshid ialah seorang yang menuruti Sunnah Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam secara Zahir dan Batin. Seseorang Murshid juga adalah seorang yang meninggalkan perkaraperkara yang bida’ah dan sesat. Bida’ah adalah amalan yang bukan bersumberkan Al- Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang Bida’ah adalah sesat. Perkara yang sesat apabila diamalkan akan membawa seseorang itu ke Neraka Jahannam; Na’uzu Billah. Murshid hendaklah memiliki ‘Aqidah yang benar dan sahih sepertimana ‘Aqidah Salafus Salihin dan yang dipegang oleh sekelian Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.

Ilmu ‘Aqidah adalah berpandukan Al-Quran dan Al-Hadits sepertimana yang telah disusun oleh Imam Maturidi Rahmatullah ‘alaih dan Imam Abu Hassan Asy-Sya’ari Rahmatullah ‘alaih. Seseorang Murshid seharusnya memiliki ‘Aqidah yang kuat dan kukuh sepertimana Hadhrat Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah ‘alaih dan sekelian Para Masyaikh Akabirin, kerana mereka menuruti ‘Aqidah Para Sahabat yang telah beri’tiqad dengan ‘Aqidah Hadhrat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Dia juga perlu mengetahui Ilmu Fiqah dan memahami masaalah Fiqah yang penting-penting. Ilmu Fiqah hendaklah berdasarkan apa yang telah diijtihadkan oleh Para Imam Mujtahidin dalam bidang Syari’at. Hasil Ijtihad mereka menimbulkan Mazhab. Terdapat empat Mazhab yang diiktiraf oleh sekelian ‘Ulama Ahlus Sunnah Wal Jama’ah iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hambali. Murshid hendaklah berpegang kepada salah satu dari Mazhab Syari’at tersebut dalam perlaksanaan hukum-hukum Fiqah. Dia hendaklah sentiasa melakukan mutala’ah kitab-kitab Hadis dan kitab Tafsir Al-Quran. Di samping itu dia juga hendaklah membaca kitab-kitab Para Sufi yang mulia yang berkaitan dengan pembinaan akhlak dan tatakrama yang baik. Contohnya seperti kitab Ihya ‘Ulumuddin, Minhajul ‘Abidin dan Kimia Sa’adat karangan Imam Al-Ghazali Rahmatullah ‘alaih. Dia juga hendaklah selalu membaca kitab-kitab tentang hal ehwal pengalaman keruhanian Para Masyaikh dan kata-kata Malfuzat mereka. Murshid hendaklah menghindarkan diri dari hubungan dan takluk yang kuat dengan orang-orang ahli dunia. Murshid hendaklah memanafaatkan masanya yang terluang dengan melakukan amalan-amalan kebaikan. Selalu berkhalwat dan mengasingkan diri dari kesibukan manusia, selalu mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan menjadikan adat tidak bergantung kepada sesama makhluk.

Murshid juga hendaklah selalu melakukan pembacaan Tilawah Al-Quran. Jika beliau bukan seorang Hafiz Al-Quran, dan tidak mampu menghafalnya, bacalah sebahagian dari Al-Quran menurut kemampuannya. Dia juga hendaklah selalu memperbanyakkan zikir demi menghasilkan keberkatan dan faedah Batiniah kepada Ruhani. Selalu Taubat, Inabat, Zuhud, Wara’, Taqwa, Sabar, Syukur, Qana’ah, Tawakkal, Taslim dan Redha dengan ketentuan Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana ianya merupakan Maqamat di dalam Tariqat serta hendaklah menahan hawa nafsu. Ciri-ciri Murshid yang sebegini, apabila dipandang akan mengingatkan kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan hatinya bersih dan suci dari keinginan dan kehendak yang salah dan tidak baik. Menurut Hadhrat Shah ‘Abdullah Ghulam ‘Ali Rahmatullah ‘alaih lagi, jika seorang itu Murshid silsilah Tariqat Chistiyah, bersahabat dan Faidhz darinya akan menimbulkan Zauk dan Shauq serta kecintaan yang tak terhingga terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan berhasil menghindar dan mengasingkan diri dari golongan ahli dunia. Jikalau Murshid itu dari silsilah Tariqat Qadiriyah, maka seseorang murid itu akan mencapai kebersihan hati dan mencapai takluk dengan Alam Arwah dan Malaikat. Kepada mereka terbuka sebahagian pengetahuan tentang perkara yang telah lepas dan akan datang. Jikalau Murshid itu adalah dari silsilah Tariqat Naqshbandiyah, maka dengan bersahabat dengannya akan menghasilkan Kehadiran Zat yakni ingatan yang berterusan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, menghasilkan Jam’iyat yakni ketenangan dan ketenteraman hati, menghasilkan Yad Dasyat yakni ingatan yang bersungguh-sungguh, kehilangan diri yakni hilang pergantungan pada makhluk dan diri sendiri, terhasilnya Jazbah dan semangat untuk menuju kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, terhasilnya warid-warid yang merupakan ilmu pengetahuan dan ilham yang baik dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan akan terhasil juga padanya Kasyaf.

Jikalau Murshid itu adalah dari silsilah Tariqat Mujaddidiyah, maka akan terhasillah kepadanya pengetahuan tentang Lataif Fauqaniyah yakni latifah-latifah yang berada di atas ‘Arash di Alam Amar dan menghasilkan nisbat Batin tentang kaifiyat bagaimana untuk melakukan penyucian hati pada latifah-latifah tersebut dan menampakkan padanya cahaya nur dan rahsia-rahsia yang terdapat di dalam Tariqat Mujaddidiyah ini. Hadhrat Sheikh Muhammad Nazim Al-Haqqani Mudda Zilluhul 'Ali telah menyatakan antara tanda-tanda seseorang Murshid itu ialah kamu dapat memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya. Hati kamu akan memberikan isyarat dan hati tidak melakukan kesilapan. Jika seseorang itu duduk bersama seorang Murshid yang benar, ia akan berasa tenang, tenteram, kepuasan hati dan akan berasa gembira. Ini adalah tanda-tanda isyarat bagi hati. Dia akan melupakan segala masaalah dan kesusahan ketika hadir bersamanya dan merasakan dirinya seperti seekor ikan di dalam lautan. Kenapa orang suka pergi ke pantai? Kerana apabila kaki mereka mencecah air, mereka akan memperolehi ketenteraman dan keriangan. Ruh juga mahukan lautan bagi dirinya. Di dalam kehidupan, kita memerlukan seorang yang seumpama lautan supaya hati kita dapat riang dan tenteram ketika berada di sampingnya.

 Murshid diibaratkan sebagai seorang doktor bagi Ruhani. Mereka menyelamatkan manusia dari sifat-sifat yang buruk dan melahirkan sifat-sifat yang baik dalam diri mereka. Doktor dalam bidang jasmani mungkin apat berusaha menyelamatkan seseorang dari mati  yang sementara namun segala sifat-sifat yang buruk dapat menyebabkan seseorang itu mati selama-lamanya. Doktor Ruhani akan membuang sifat-sifat yang buruk itu dan menggantikannya dengan sifat-sifat yang baik dan membawanya kepada kehidupan yang kekal abadi. Menurut Imam Al-Qusyairi Rahmatullah ‘alaihi di dalam kitabnya Ar-Risalah Al-Qusyairiyah, “Kemudian wajiblah ke atas seseorang murid supaya dia dididik oleh Syeikh, kalau sekiranya dia tidak ada guru yang membimbingnya, selamanya dia tidak akan berjaya di dalam perjalanannya menuju Allah Subhanahu Wa Ta’ala.” Imam Al-Ghazali Rahmatullah ‘alaihi pula menyatakan di dalam kitabnya Ihya ‘Ulumuddin seperti berikut, “Maka demikianlah seorang murid itu memerlukan seorang Syeikh dan guru yang semestinya dia ikuti untuk dia mendapat panduan ke arah jalan yang betul. Sesungguhnya jalan agama itu cukup sukar sekali, sedangkan jalan-jalan Syaitan amat banyak pula. Oleh itu barangsiapa yang tidak ada Syeikh yang menunjuk arah kepadanya, maka Syaitan akan memandu ke arah jalannya.” Imam Al-Ghazali Rahmatullah ‘alaihi telah memperincikan syarat-syarat yang tertentu, di antaranya ialah seseorang itu mestilah ‘Alim (terpelajar), tetapi bukanlah setiap orang ‘Alim boleh menjadi Syeikh Murshid malah dia mestilah pula mempunyai bakat ketokohan dari segi kepimpinan. Selain itu, Syeikh juga mestilah mempunyai banyak tanda yang patut atau mesti dimilikinya supaya sebarangan orang tidaklah boleh mengakui dirinya sebagai Syeikh Murshid dengan sewenang-wenangnya.

Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
1. Tercabut seluruh perasaan cintakan harta dan pangkat daripada lubuk hatinya.
2. Tokoh kepimpinan itu berkembang melalui bimbingan seorang pemimpin, di mana
    pemimpin itu telah menerima pimpinan daripada pemimpin yang sebelumnya.
    Begitulah seterusnya sehingga sampai pimpinan itu bermula daripada Nabi
   Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
3. Hendaklah dia pernah mengalami sedikit sebanyak latihan-latihan seperti sedikit
    makan, sedikit bercakap dan sedikit tidur. Memperbanyakkan bersolat, banyak
   bersedekah dan banyak berpuasa.
4. Pernah menyedut cahaya Nur Kenabian Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi
   Wasallam.
5. Terkenal mempunyai tingkah laku yang bagus dan akhlak yang terpuji seperti sabar, syukur, tawakkal   kepada Allah Subahanahu Wa Ta’ala, mempunyai keyakinan yang teguh, memiliki ketenangan, bermurah hati, qana‘ah yakni memadai pemberian yang diperolehi, amanah, lambat marah, merendah diri, memiliki ma’rifah, bersifat benar, sopan santun, lemah lembut dan malu.
6. Bersih dari sebarang akhlak yang tercela seperti sombong dan takabbur, bakhil dan kedekut, hasad dengki, dendam kesumat, tamak haloba, panjang angan-angan, cinta dunia dan takut mati.

Syeikh Abu Ali Daqqaq Rahmatullah ‘alaihi telah menjelaskan tentang kepentingan seorang Syeikh dengan katanya, “Apabila seseorang murid itu tidak ada guru yang akan membimbing perjalanannya nafas demi nafas yakni maqam demi maqam, maka dia akan menjadi hamba kepada nafsunya dan dia tidak mungkin berjaya melepaskan diri daripadanya.” Menurut Hadhrat Syeikh Shahabuddin As-Suhrawardi Rahmatullah ‘alaih, selepas darjat Nabi, tidak ada darjat yang lebih tinggi dari kedudukan seorang yang menjadi Naib Nabi, untuk menyeru manusia dengan jalan Hadhrat Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk menuju kepada Hadhrat Allah Subahanahu Wa Ta’ala. Menjadi Syeikh bererti menjadi seorang Khalifah, maka darjatnya adalah tinggi di sisi Allah Subahanahu Wa Ta’ala. Tugas Syeikh adalah untuk menyucikan hati murid dari segala kekaratan dan kekotoran supaya hatinya mendapat keindahan pancaran Nur Ketuhanan dan supaya ia kekal memandang kebesaran Allah dan mencintaiNya dengan hati yang ikhlas. Menurut Hadhrat Syeikh Shahabuddin As-Suhrawardi Rahmatullah ‘alaih di dalam kitabnya ‘Awariful Ma‘arif, terdapat lima belas perkara yang perlu bagi seseorang Syeikh Tariqat Sufiyah dalam kedudukannya sebagai Murshid yang membimbing Murid, iaitu:

1. Menyucikan keputusan dan memperbetulkan niat yakni seseorang itu pertama sekali perlu bertanya kepada dirinya sendiri supaya keinginannya untuk menjadi Syeikh itu tidaklah untuk kepentingan dirinya sendiri atau keinginan untuk menjadi Syeikh yang mempunyai pengikut.
2. Mengetahui kemampuan murid dalam melakukan amalan. Syeikh perlulah tahu apakah amalan yang sesuai untuk diamalkan oleh setiap murid. Syeikh tidak boleh memberi sesuatu amalan yang di luar batas kemampuan murid untuk melaksanakannya.
3. Bersikap jujur terhadap harta muridnya iaitu seseorang Syeikh tidak boleh menunjukkan rasa keinginannya terhadap sesuatu barang berharga yang menjadi milik muridnya melainkan jika muridnya sendiri yang ingin
memberikan dengan ikhlas maka Syeikh boleh menerimanya.
4. Memberi sedekah kepada orang yang memerlukan seperti fakir miskin dan orang yang dalam kesusahan. Sesungguhnya sedekah terdapat berbagai-bagai kelebihan.

5. Amalan yang selari dengan perkataannya yang menyeru kepada kebaikan dengan jelas dan bukan dengan jalan yang kabur supaya tidak timbul keraguan dalam diri murid. 
6. Bersifat belas kasihan kepada yang lemah. Apabila Syeikh melihat terdapat kelemahan dan kekurangan pada muridnya maka hendaklah dia memberikan bantuan bagi memenuhi keperluannya.
7. Hendaklah menyucikan perkataannya dari perkara-perkara yang menuruti hawa nafsu ketika berkata-kata dengan murid kerana perkataan seorang Syeikh akan memberikan kesan terhadap hati. Syeikh hendaklah mengucapkan perkataan yang baik-baik sahaja.
8. Membesarkan Allah dalam perkataan yakni apabila Syeikh hendak berkata-kata kepada muridnya maka hendaklah menghadapkan hatinya kepada Allah dan memohon petunjuk dariNya agar lidahnya dapat menjadi jurucakap bagi Allah dan supaya perkataannya itu nanti akan membuahkan manafaat kepada murid.
9. Menegur dengan hikmah apabila melihat sesuatu kesalahan dilakukan oleh murid. Syeikh hendaklah menegurnya secara bijaksana dan tidak menjatuhkan air mukanya. Menegur murid hendaklah secara berseorangan dan bukannya di dalam majlis.
10. Memelihara segala rahsia murid samada yang bersifat Tajalli di dalam diri ataupun yang berbentuk karamah. Kesemua rahsia murid hendaklah dipelihara dengan baik oleh Syeikh.
11. Memaafkan kesalahan murid hendaklah sentiasa menjadi kelaziman bagi Syeikh jika dia mendapati muridnya tidak menurut peraturan dan adab atau apabila murid tidak melaksanakan sesuatu tugas yang telah diberikan.
12. Jangan mengharapkan penghormatan yang terlalu tinggi dari murid meskipun itu merupakan hak baginya ke atas murid. Syeikh perlu memelihara dan menjaga murid-muridnya namun tidak boleh meletakkan pengharapan yang terlalu besar kepada mereka, maka bagi seseorang Syeikh mengkebelakangkan hak dirinya adalah yang terbaik.
13. Mendahulukan hak-hak murid mengatasi hak-hak dirinya meskipun dalam keadaan sihat mahupun sakit. Syeikh tidak sepatutnya melambat-lambatkan dalam menunaikan hak-hak murid.
14. Membahagikan masanya untuk Khalwat dan Jalwat yakni Syeikh perlu ada masanya yang khusus untuk bersendirian dengan Allah dan perlu ada masa yang tertentu untuk bermasyarakat sesama manusia bagi urusan-urusan Duniawi dan Ukhrawi. Syeikh tidak sepatutnya meluangkan sepanjang masa bersama manusia. Kesempurnaan Ihsan bukanlah alasan bagi Syeikh untuk berkhalwat kerana Hadhrat Baginda Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam meskipun dengan kesempurnaan Hal dan Ihsan dalam dirinya, Baginda tidak berada sepanjang hari bersama Sahabatnya. Untuk memohon khazanah dan Rahmat yang khusus dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala, Baginda memilih Khalwat dan untuk membahagi-bahagikan Rahmat, Baginda memilih Jalwat iaitu bermasyarakat.
15. Memperbanyakkan amalan Sunat dan Nawafil meskipun telah mencapai kesempurnaan Hal dan Ihsan sebagai menuruti Hadhrat Baginda Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam. Amalan Nawafil seperti Solat Tahajjud, Solat Fajar, Solat Isyraq, Solat Dhuha, berpuasa, membaca Al-Quran dan sebagainya.




Hadhrat Shah Waliullah Dehlawi Rahmatullah ‘alaihi menyatakan di dalam kitabnya Al-Qaulul Jamil bahawa terdapat lima syarat untuk melayakkan seseorang itu menjadi Syeikh:
1. Mempunyai ilmu pengetahuan tentang isi kandungan kitab Al-Quran dan As- Sunnah.
2. Mempunyai sifat adil dan taqwa.
3. Mestilah mempunyai sifat zuhud daripada kemewahan dunia dan sangat cinta pula kepada kehidupan Akhirat.
4. Hendaklah dia memiliki sifat sentiasa suka menyuruh dan mengajak kepada yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar, sangat tegas dengan fikirannya, mempunyai pendapat dan pandangan sendiri dan tidak mudah terikut-ikut, tidak menyeleweng, mempunyai maruah dan kekuatan akal yang sempurna.
5. Dalam sejarah keruhaniannya, Syeikh itu mestilah telah pernah bergaul, bersahabat dan berguru dengan Syeikh-syeikh keruhanian dalam satu tempoh yang agak panjang.

Hadhrat Syeikh Hisham Kabbani yang merupakan Khalifah Kanan bagi Hadhrat Syeikh Nazim Adil Haqqani menyatakan bahawa di dalam Tariqat Naqshbandiyah terdapat empat tingkatan Syeikh Murshid. Mereka menjadi pembimbing yang membawa manusia ke Hadhrat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan seterusnya ke Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Mereka tetap memelihara perundangan Syari’ah, menghidupkan amalan ibadah harian seperti yang fardhu, wajib dan sunat, mempertingkatkan Iman dan seterusnya membawa menuju ke tingkatan Ihsan. Empat tingkatan Syeikh Murshid adalah seperti berikut:

1. Murshid Tabaruk - Pembimbing Keruhanian yang menghasilkan keberkatan kepada murid dan menyempurnakan maksud murid dengan memberikannya awrad zikir dan amalan harian.
2. Murshid Tazkiyah - Pembimbing Keruhanian yang mengeluarkan sikap dan hawa nafsu yang buruk daripada diri murid, membersihkannya dari segala sifat yang Mazmumah dan menggantikannya dengan segala sifat Mahmudah.
3. Murshid Tasfiyah - Pembimbing Keruhanian yang menyucikan muridnya dari segala keinginan duniawi serta cenderung kepada kehidupan yang qana’ah dan zuhud. Mereka zuhud di Dunia dan di Akhirat.
4. Murshid Tarbiyah - Pembimbing Keruhanian pada darjah tingkatan tertinggi yang mendidik dengan jalan istiqamah dan membawa murid kepada peningkatan maqam dan Musyahadah kehadiran Zat Yang Suci.


No comments:

Post a Comment