KETAHUILAH
bahawa makna Bai‘ah ialah berjanji dan taat setia kemudianberpegang
teguh dan tetap melaksanakannya. Berbai‘ah merupakan amalan Para Sufi yang
mulia Rahmatullah ‘alaihim dan ianya terus berjalan sehingga ke hari ini dan akan
terus berjalan. Berbai‘ah juga merupakan Sunnah dan Tariqah Para Sahabat Ridhwanullah
‘Alaihim Ajma’in. Bai‘ah adalah menetapkan secara sedar hubungan di antara
Murshid dan Murid. Murid membenarkan Murshidnya memberikan bimbingan kepadanya
dan Murshid menerima Murid sebagai Muridnya dan pengikutnya dalam mencapai peningkatan
Ruhani menuju kepada maksud yang hakiki.
Perkataan
Bai’ah berasal dari kata dasar Ba’a Bai’an Mabi’an yang
bererti menjual dan perkataan ini biasa digunakan dalam istilah akad jual beli.
Biasanya setelah menjual sesuatu, si penjual akan mengucapkan Bi’tu
yang bererti “Saya menjual” dan pembeli pula mengucapkan Isytaraitu
yang bererti “Saya membeli” dan ini mengisyaratkan kepada
keredhaan kedua belah pihak. Dari kata dasar tersebut terbit pula kata Baya’a
yang bererti membuat perjanjian atau biasa disebutkan sebagai Bay’at
atau Bai’ah. Dalil Bai‘ah di dalam Al-Quran ada di dalam Surah Al-Fath ayat 10 yang
mana Allah Ta’ala berfirman yang maksudnya,
إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ
إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا
يَنكُثُ عَلَىٰ نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ
أَجْرًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya orang-orang yang berbai‘ah
berjanji setia kepada kamu (Muhammad), sesungguhnya mereka berbai‘ah berjanji
setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka. Maka barangsiapa yang
melanggar janjinya maka akibat buruk akan menimpa dirinya sendiri dan
barangsiapa yang menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya
pahala yang besar.”
Pada
bulan Zulqaidah tahun keenam Hijriyyah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Sallallahu
‘Alaihi Wasallam beserta pengikut-pengikutnya hendak mengunjungi Makkah untuk
melakukan Umrah dan melihat keluarga-keluarga mereka yang telah lama
ditinggalkan. Sesampai sahaja di Hudaibiyah, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Sallallahu
‘Alaihi Wasallam berhenti dan mengutus Hadhrat ‘Utsman bin ‘Affan Radhiyallahu
‘Anhu terlebih dahulu ke Makkah untuk menyampaikan maksud kedatangannya dan
kaum Muslimin. Mereka menanti-nanti kembalinya Hadhrat ‘Utsman bin ‘Affan
Radhiyallahu ‘Anhu, tetapi tidak juga datang kerana Hadhrat ‘Utsman bin ‘Affan
Radhiyallahu ‘Anhu telah ditahan oleh kaum Musyrikin, kemudian tersiar lagi
khabar bahawa Hadhrat ‘Utsman bin ‘Affan Radhiyallahu ‘Anhu telah dibunuh, maka
Nabi menganjurkan agar kaum Muslimin melakukan Bai'ah janji setia kepadanya.
Mereka pun mengadakan janji setia kepada Nabi dan mereka akan memerangi kaum
Quraisy bersama Nabi sampai kemenangan tercapai. Perjanjian setia ini telah
diredhai Allah sebagaimana tersebut dalam ayat 18 Surah Al-Fath, kerana itulah
ianya disebut sebagai Bai'atur Ridhwan. Bai'atur Ridhwan ini menggetarkan kaum
Musyrikin sehingga mereka telah melepaskan Hadhrat ‘Utsman dan mengirimkan
utusan untuk mengadakan perjanjian damai dengan kaum Muslimin. Perjanjian ini
terkenal dengan Sulhul Hudaibiyah. Orang yang berjanji setia biasanya berjabat
tangan. Cara berjanji setia dengan Rasul ialah meletakkan tangan Rasul di atas
tangan orang yang berjanji itu. Jadi maksud tangan Allah di atas mereka ialah
untuk menyatakan bahawa berjanji dengan Rasulullah sama dengan berjanji dengan
Allah. Jadi seakan-akan Tangan Allah di atas tangan orang-orang yang berjanji
itu. Hendaklah difahamkan bahawa Allah Maha suci dari segala sifat-sifat yang
menyerupai makhluknya. Di dalam Surah Al-Fath ayat 18 Allah Subhanahu Wa Ta’ala
berfirman yang maksudnya,
لَّقَدْ رَضِيَ اللَّهُ
عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ
فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
Ada
yang berbai‘ah untuk ikut berhijrah dan berjuang bersama-sama Baginda
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, ada yang berbai‘ah untuk sama-sama
menegakkan Rukun Islam, ada yang berbai‘ah untuk tetap teguh berjuang tanpa
undur ke belakang dalam medan pertempuran jihad menentang orang kafir, ada yang
berbai‘ah untuk tetap berpegang dan memelihara Sunnah, menjauhi bida‘ah dan
berbai‘ah untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kaum
wanita di kalangan Para Sahabat Radhiyallahu ‘anhum juga melakukan Bai‘ah
dengan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Terdapat bermacam-macam peristiwa Bai‘ah
di zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan Para Sahabat Ridhwanullah ‘Alaihim
Ajma’in. Menurut Hadhrat Shah Waliyullah Dehlawi Rahmatullah ‘alaih di dalam
kitabnya Al-Qaulul Jamil terdapat
beberapa bahagian Bai‘ah iaitu:
1.
Bai‘ah untuk taat setia kepada Khalifah.
2.
Bai‘ah untuk menerima Agama Islam.
3.
Bai‘ah untuk tetap teguh berpegang dengan Taqwa.
4.
Bai‘ah untuk ikut berhijrah dan berjihad.
5.
Bai‘ah untuk tetap setia menyertai Jihad.
Menurut
Hadhrat Shah Abdullah Ghulam ‘Ali Rahmatullah ‘alaih, terdapat 3 jenis Bai‘ah.
Jenis yang pertama ialah apabila seseorang itu bertaubat pada tangan seorang
yang suci dan berbai‘ah untuk meninggalkan perbuatan dosa, maka dosa-dosa besarnya
juga akan turut terampun. Jika dia kembali melakukan dosa, maka dia perlu mengulangi
Bai‘ah kali yang kedua yakni Bai‘ah ini boleh berlaku berulang-ulang kali. Jenis
Bai‘ah yang kedua ialah apabila seseorang itu berbai‘ah untuk mendapatkan
Nisbat Khandaniyah yakni nisbat dengan sesuatu golongan atau kelompok bagi
mendapatkan perkhabaran baik yang menjadi kekhususan bagi golongan tersebut. Di
samping itu dia mengharapkan Syafa’at yang tidak terbatas menerusi golongan
tersebut. Misalannya, seseorang itu berbai‘ah dengan Silsilah Qadiriyah supaya
mendapatkan perkhabaran baik Hadhrat Ghauts Tsaqilain Syeikh Abdul
Qadir Jailani Rahmatullah ‘alaih yang mana beliau telah berkata bahawa, “Para murid
dalam Silsilahku tidak akan meninggal dunia dalam keadaan tidak bertaubat.” Bai‘ah
seperti ini tidak perlu dilakukan berulang-ulang. Jenis Bai‘ah yang ketiga
ialah apabila seseorang itu berniat untuk mengambil faedah dan istifadah dari
sesuatu Khandan atau golongan.
Jika
seseorang itu telah berikhtiar dan berusaha untuk melaksanakan Zikir dan
Wazifah Khandan tersebut secara ikhlas namun tidak berupaya melaksanakannya
maka untuk dirinya, dengan kebenaran yang menjadi kebiasaan ialah hendaklah
merujuk kepada mana-mana orang suci dari kelompok atau golongan yang lain dan
berbai‘ah dengan Murshid yang lain sama ada Murshid yang sebelum itu redha
mahupun tidak. Akan tetapi tidak boleh sekali-kali menafikan kesucian dan
kesalihan Murshid yang terdahulu sebaliknya hendaklah beranggapan bahawa
mungkin tuahnya tiada di sana. Jika seseorang Murid mendapati Murshid
mengabaikan pengamalan Syari’atdan usul-usul Tariqat dan dirinya terikat dengan
ahli-ahli duniawi dan mencintai dunia, maka hendaklah dirinya mencari Murshid
yang lain bagi menghasilkan limpahan Faidhz batin dan kecintaan serta Ma’rifat.
Adapun, amalan mengulangi Bai‘ah memang ada berlaku di zaman Hadhrat Baginda
Rasulullah Salllallhu ‘Alaihi Wasallam, begitu juga di zaman Para Sahabat
Radhiyallahu ‘Anhum ajma’in, Para Tabi’in dan Tabi’it Tabi’in.
Hadhrat
Aqdas Maulana Muhammad ‘Abdullah Rahmatullah ‘alaih suatu ketika telah
ditanyakan orang tentang apakah maksud Bai‘ah? Beliau lalu berkata, “Cubalah
kamu lihat bahawa dengan adanya pengetahuan hokum-hukum Syariah dan urusan
keagamaan pun orang tidak dapat berakhlak dan melakukan amalan Salih dengan baik, terdapat juga
kebanyakan orang-orang Islam yang mengerjakan solat dan puasa tetapi masih
tidak dapat menghindarkan diri dari kelakuan buruk seperti menipu dan berbohong
serta mengumpat ghibat. Maksud utama Bai‘ah ialah supaya menghindarkan kelakuan
yang buruk dan menggantikannya dengan melahirkan akhlak yang tinggi dan mulia,
mendatangkan kemudahan untuk melakukan amalan Salih dan dengan sendirinya akan meninggalkan
perbuatan maksiat.” Hukum Bai‘ah adalah Sunat dan bukannya Wajib kerana manusia
melakukan Bai‘ah dengan Hadhrat Baginda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam atas
tujuan Wasilah untuk tujuan Qurbah menghampirkan diri mereka kepada Allah
Subhanahu Wa Ta’ala. Tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa meninggalkan atau
tidak melakukan Bai‘ah adalah berdosa dan tidak ada Imam Mujtahidin yang
menyatakan berdosa jika meninggalkan Bai‘ah. Adapun hikmah melakukan Bai‘ah
adalah amat besar sekali kerana Allah melaksanakan peraturanNya dengan
meletakkan dan menentukan beberapa perbuatan, amalan dan kata-kata yang
bersifat zahir sebagai lambang bagi membuktikan
ketaatan dan bagi menyatakan perkara-perkara yang bersifat Ruhaniah, halus dan
tersembunyi di jiwa insan. Sebagai contoh, membenarkan dan mempercayai dengan
yakin akan kewujudan Allah Yang Maha Esa dan Hari Akhirat adalah merupakan
perkara ghaib, halus dan bersifat Ruhaniah, Maka Islam meletakkan pengakuan
lidah atau ikrar sebagai lambang membenarkan kewujudan Allah dan Hari Akhirat
yang bersifat Mujarrad dan halus. Begitulah juga di dalam urusan Mu’amalat
perniagaan dan jual beli yang mana ianya berasaskan keredhaan penjual dan
pembeli untuk melakukan urusan perniagaan dan keredhaan itu adalah bersifat
halus dan tersembunyi maka amalan akad Ijab dan Qabul menjadi sebagai lambang
bagi menzahirkan keredhaan antara penjual dan pembeli.
Demikian
juga dalam melaksanakan Taubat, keazaman untuk berhenti dari melakukan dosa
adalah bersifat halus dan Mujarrad lagi tersembunyi, oleh itu telah ditentukan
oleh Allah menerusi amalan Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
dan Para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum bahawa amalan Bai‘ah itu secara zahirnya
adalah bagi melambangkan keazaman untuk bertaubat dan meninggalkan dosa-dosa.
Upacara Bai‘ah ini seharusnya dilakukan secara rahsia pada tempat yang rahsia
kerana ianya merupakan suatu rahsia perjalanan yang rahsia bagi setiap Salik. Pada
hakikatnya Bai’ah adalah merupakan suatu akad jual beli antara kita dengan
Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana Dia telah berfirman di dalam Surah At- Taubah
ayat 111,
إِنَّ
اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ
الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا
عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ
مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَٰلِكَ هُوَ
الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Sesungguhnya
Allah telah membeli dari orang-orang beriman, diri dan harta mereka dengan
memberikan Syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka
membunuh atau terbunuh. Itu telah menjadi janji yang benar dari Allah di dalam
Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain daripada
Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan
itulah kemenangan yang besar.”
التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ
السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ الْآمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ
عَنِ الْمُنكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ
Bai’ah
merupakan akad bagi jual beli ini dan setelah kita berakad dengan akad Bai’ah
ini, menjadi tanggungjawab kitalah untuk menyerahkan diri kita mentaati perintah
Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan RasulNya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan membelanjakan
harta kita menurut kehendak Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan mengikuti petunjuk
RasulNya, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
No comments:
Post a Comment