WILAYAT
bererti maqam kewalian dan ia merupakan maqam yang khas di
kalangan Ummat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
yang beriman. Seseorang yang telah mengamalkan Syari‘at Islam dengan sempurna
dan menuruti
Tariqat yang dibawakan oleh Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu
‘Alaihi Wasallam dengan menuruti segala Adab dan Sunnahnya, Makrifat dan
mengenal Zat Allah dengan Sifat-SifatNya, Nama- NamaNya serta Perbuatan-PerbuatanNya
dengan keyakinan yang sempurna serta telah mencapai Haqiqat dalam kefahamannya
tentang wajibnya kewujudan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, hakikat Kenabian Baginda
Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, hakikat Agama, hakikat
kewujudan diri, dan segala hakikat kewujudan makhluk dan alam semesta, dia
pasti akan Allah Subhanahu Wa Ta’ala angkatkan ke darjat Para WaliNya.
Wali
adalah seseorang yang beriman kepada Allah dan Rasul dengan keimanan yang
sempurna dan dia sentiasa dilindungi oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan
membantunya dalam setiap urusan. Allah mengasihinya dan dia mengasihi Allah. Di
dalam hatinya tidak ada rasa takut terhadap makhluk dan tidak ada rasa
kesusahan hati baginya. Perkataan Auliya adalah lafaz jamak bagi Wali yang
bererti Para Wali dan memberikan makna Para Kekasih Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Para Wali adalah
mereka
yang menjadikan Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai pelindung dan sentiasa
menyerahkan segala urusan mereka kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Sesungguhnya
Allah Subhanahu Wa Ta’ala itu adalah Al-Waliy yang
bererti Yang
Maha
Melindungi dan Dialah juga Al-Wali yang
bererti Yang Maha Memerintah
dan
Menguasai Segala Urusan.
Perkataan
Wali dari sudut timbangan wazan dalam bahasa ‘Arab boleh membawa makna Isim Fa’il
yang bermaksud katanama pelaku dan ianya juga boleh membawa makna Isim Maf’ul
yang bermaksud katanama bagi sesuatu yang kena dari perlakuan tersebut. Jika
diandaikan perkataan Wali itu membawa makna Isim Fa’il, maka Wali itu bermaksud,
orang yang sentiasa menjaga ketaatannya terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan
menolak semua perkara yang selain dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kerana
itulah, maka Wali adalah seorang yang mendapat pertolongan dari Allah Subhanahu
Wa Ta’ala . Jika diandaikan perkataan Wali itu membawa makna Isim Maf’ul, maka
perkataan Wali itu bermaksud, orang yang sentiasa dijaga dan dilindungi oleh
Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Jesteru, seorang Wali itu jika dilihat dari sudut
hamba, maka dia sentiasa taat menjaga hukum Allah Subhanahu Wa Ta’ala,
melaksanakan segala yang telah diperintahkan dan meninggalkan segala yang telah
dilarang oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Jika dilihat dari sudut Allah
Subhanahu Wa Ta’ala, maka dia sentiasa dijaga dan dilindungi oleh Allah
Subhanahu Wa Ta’ala sehingga dia boleh melakukan ketaatan kepadaNya.
Allah
Subhanahu Wa Ta’ala telah berfirman di dalam Al-Quran pada Surah Yunus ayat 62 –
64 bagi menerangkan keadaan Para WaliNya yang bermaksud,
“Ingatlah,
sesungguhnya Wali-Wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan
tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan mereka
selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di Dunia dan di
Akhirat, tidak ada perubahan bagi kalimah janji-janji Allah, yang demikian itu
adalah kemenangan yang besar.”
Para
Wali sentiasa mendapat perlindungan khusus dari Allah dan di kalangan mereka
ada yang mencapai berbagai tahap dan tingkatan kesucian. Mereka adalah
orang-orang
yang sentiasa menyucikan dan mensucikan diri dengan Istighfar, Taubat,
Zikrullah dan Selawat serta pembacaan Al-Quran.
Di
dalam kitab Risalah Qusyairiyah ada
dinyatakan ciri-ciri untuk mengenal
pasti
bahawa seseorang itu adalah Wali Allah dan ianya menerusi tiga perkara, iaitu:
1)
Mereka selalu menyibukkan diri dengan beribadah kepada Allah Subhanahu
Wa
Ta’ala.
2)
Mereka selalu bermunajat, meminta dan memohon kepada Allah Subhanahu Taala
3)
Mereka menjadikan maksud dan tujuan mereka satu iaitu Allah SubhanahuWaTa’ala
Hadhrat
‘Abdullah As-Salim Rahmatullah ‘alaih mentakrifkan Wali sebagai,“Mereka yang
dapat dikenal kerana bicara mereka yang baik, tingkah laku yang sopan,
merendahkan diri, murah hati, tak suka berselisih, menerima permintaan maaf
dari siapa saja yang meminta maaf kepadanya, halus budi terhadap segala ciptaan
baik yang elok rupanya mahupun yang buruk.”
Hadhrat
Ibnu ‘Arabi Rahmatullah ‘alaih menyatakan bahawa, “Seseorang itu disebutkan
sebagai Wali apabila dia sudah mencapai tingkatan Ma’rifat, iaitu tingkatan
tertinggi dalam tingkatan Tasawwuf Akhlak. Tetapi yang sulitnya Ma’rifat ini
tidak dapat diperolehi melalui teori atau manhaj. Ma’rifat adalah pemberian dan
anugerah dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala.”
Hadhrat
Abu Yazid Al-Bistami Rahmatullah ‘alaih berkata bahawa, “Wali ialah seorang
yang sentiasa sabar di bawah suruhan dan larangan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.” Walaubagaimanapun,
di kalangan Para Wali dan Auliya, Wilayat merupakan
suatu
maqam yang umum yang mampu dicapai oleh sekelian Ummat Hadhrat Baginda Nabi
Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan di sisi Allah terdapat
suatu maqam kewalian yang lebih tinggi dan merupakan suatu maqam yang khusus di
kalangan Para Wali yang menduduki maqam Wilayat dan ianya merupakan maqam
Qutbaniyat. Ianya merupakan suatu kedudukan yang khusus bagi golongan yang
khas. Terdapat berbagai jenis Wali yang datang silih berganti yakni apabila wafatnya
salah seorang dari mereka maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan mengangkat
seorang lagi hambanya dikalangan orang-orang yang beriman untuk menggantikan
tempat WaliNya yang telah wafat.
Iman
merupakan syarat utama kerana sekiranya seseorang itu tidak beriman, bagaimanakah
dia hendak mengenali Penciptanya? Walaubagaimanapun, hanya orang-orang beriman
yang telah mencapai martabat Iman dan ‘Amal yang sempurna
kepada
Allah dan Rasul, barulah Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan mengangkatnya
sebagai
Wali. Seseorang Wali sekali-kali tidak akan dapat mencapai pangkat Nabi dan
sesungguhnya setiap Nabi adalah Wali.Hadhrat Ibrahim bin Adham Rahmatullah ‘alaih
pernah bertanya kepada seorang lelaki,
“Apakah
kamu suka bila Allah menjadikanmu seorang Wali?”
Kemudian
lelaki itu menjawab,
“Ya,
aku suka.” Ibrahim bin Adham Rahmatullah ‘alaih lalu berkata, “Janganlah engkau
menyenangi perkara dunia dan akhirat tetapi kosongkanlah jiwamu untuk Allah
semata dan hadapkan wajahmu kepada Nya supaya Allah menerimamu dan menjadikanmu
sebagai WaliNya.”
Hadhrat
Syeikh Ahmad Al-Fathani Rahmatullah ‘alaih telah menyatakan di dalam kitabnya Faridatul
Faraid bahawa, “Mengi’tiqadkan tsabit Karamat bagi
Para Auliya pada ketika hidup dan setelah wafat mereka adalah wajib. Karamat
atau Karamah ialah sesuatu pekerjaan atau perbuatan atau perlakuan yang
menyalahi dan mencarik adat secara nyata dan ianya dikurniakan oleh Allah
Subhanahu Wa Ta’ala kepada hamba-hambaNya yang beriman lagi beramal soleh.
Mereka adalah orang-orang yang sentiasa mendirikan dan menegakkan segala
hak-hak Allah di atas muka bumi.” Berkata Hadhrat Syeikh Abu Hafs Umar bin
Muhammad bin Ahmad An- Nasafi Rahmatullah ‘alaih di dalam kitabnya ‘Aqaid
An-Nasafi menyebutkan bahawa,
“Segala
Karamah yakni segala perlakuan yang mulia dan indah yang terbit dari segala
Wali itu adalah kebenaran yang Haq. Maka menjadi nyatalah segala Karamah itu
atas jalan melawan adat bagi seseorang Wali, seperti melalui perjalanan yang
jauh dalam masa yang sedikit, kelihatan hadirnya makanan atau minuman atau pakaian
tatkala berkehendak, berjalan di atas air dan pada udara, boleh berkata-kata
dengan
Jamad yakni segala benda yang bersifat beku dan juga boleh berkata-kata dengan ‘Ajma
yakni segala benda yang tidak tahu berkata-kata, dapat menolak sesuatu bala
yang dihadapi, dapat memelihara daripada sesuatu yang mendukakan
dari
kalangan musuh dan seteru serta berbagai-bagai lagi yang selain dari yang telah
disebutkan.”
Adapun
perkara yang sedemikian itu apabila berlaku ke atas Para Nabi maka ianya
disebutkan sebagai Mukjizat dan bagi orang-orang yang beriman, perkara tersebut
dinamakan sebagai Karamat. Apabila perkara-perkara yang berbentuk Karamat ini
Allah Subhanahu Wa Ta’ala zahirkan di kalangan Ummat Baginda Nabi Muhammad
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ianya adalah untuk menzahirkan bahawa
sesungguhnya dia itu seorang Wali. Hadhrat Ibnu ‘Ataillah Al-Iskandari
Rahmatullah ‘alaih ada menyebut, “Maha Suci Allah yang telah menutup berbagai
rahsia Wali dengan ternampaknya sifat-sifat manusia biasa.” Menurut Hadhrat
Syeikh Abu ‘Abbas Al-Mursi Rahmatullah ‘alaih bahawa, “Jika Allah bukakan dan
perlihatkan rahsia atau Nur Kewalian itu nescaya boleh merosakkan Tauhid Wali
itu sendiri. Misalnya Hadhrat Mansur Al-Hallaj Rahmatullah ‘alaih yang pernah
mengucapkan:
“Maha
Suci Engkau, Maha Suci Aku” adalah ketika Nur Kewaliannya Tajalli pada dirinya.”
No comments:
Post a Comment